Kepentingan pendidikan dan pembelajaran berterusan dari peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi adalah asas kepada masa depan yang lebih cerah sekali gus jaminan kehidupan lebih baik.
Perkara itu disuarakan sendiri oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di hadapan pelajar dan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan di ibu negara pada Selasa.
"Pendidikan sangat penting, bukan sahaja untuk masa depan anak-anak, tetapi juga berperanan dalam mengubah nasib keluarga agar lebih baik pada masa akan datang. Pendidikan merupakan tiket penting dalam mengubah kehidupan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan persekolahan kepada seramai 282 pelajar Tingkatan 5 SMK Bandar Tasik Selatan.
Kesemua mereka menerima sumbangan berupa beg sekolah, set peralatan alat tulis dan wang tunai RM100.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Penyerahan sumbangan kepada 282 pelajar itu merupakan sebahagian daripada hampir 3,000 pelajar sekolah menengah harian di Parlimen Bandar Tun Razak yang menerima manfaat daripada inisiatif itu.
Sebelum ini, sebanyak RM450,000 telah diperuntukan kepada semua sekolah rendah dan menengah serta Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak bagi program Back To School, yang diadakan setiap kali musim cuti persekolahan. - Bernama