Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam pembelajaran digital dan pembelajaran sepanjang hayat dengan memperkenalkan Modul Transformatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
Modul ini dibangunkan hasil penyelidikan geran Penyelidikan Industri bersama Majlis Agama Islam Pulau Pinang, bertujuan meningkatkan profesionalisme Guru Takmir melalui teknologi digital dan pendekatan futuristik.
Modul ini ditawarkan dalam format Massive Open Online Course (MOOC) selama enam bulan merangkumi 12 kursus dengan setiap kursus bernilai dua kredit.
Yuran bagi keseluruhan program ini adalah RM3,500, menjadikannya satu alternatif fleksibel dan mudah diakses oleh tenaga pengajar di seluruh negara.
Elemen Sustainable Development Goals (SDG 4: Quality Education & SDG 9: Industry, Innovation, and Infrastructure) turut diterapkan dalam modul ini bagi memastikan pendidikan berkualiti dan inovatif sejajar dengan keperluan global.
Modul ini telah diimplementasikan kepada 19 peserta Takmir Zon Utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) pada tahun 2024 dan kini diperluaskan ke Zon Tengah, Zon Timur, dan Zon Selatan bagi memperluaskan manfaat kepada lebih ramai pendidik.
Sebagai pengiktirafan terhadap keunggulan inovasi ini, Modul Transformatif PSH berjaya meraih Anugerah Perak di Malaysia Technology Award 2025, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).
Kejayaan ini membuktikan keberkesanan pendekatan digital dalam pendidikan serta kesesuaian modul ini dalam membentuk tenaga pengajar berkualiti tinggi.
Menurut Ketua Penyelidik Inovasi, Profesor Madya Dr Saipolbarin Ramli, kejayaan ini mencerminkan kesan positif transformasi digital dalam pendidikan.
"Modul ini dirangka untuk memperkasakan Guru Takmir dengan pendekatan yang lebih interaktif dan fleksibel, sejajar dengan keperluan pendidikan masa depan," katanya.
Bagi memastikan pelaksanaan inovasi ini dapat diperluaskan, Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) telah dimeterai dengan pihak KIBAS Enterprise sebagai rakan strategik dalam memajukan pembelajaran sepanjang hayat yang berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan teknologi digital.
Kerjasama ini dijangka dapat mempercepatkan penerapan pembelajaran digital dalam kalangan tenaga pengajar serta membuka peluang penyelidikan lanjut dalam bidang pendidikan inovatif.
Dengan kejayaan ini, UPSI terus komited dalam memperkukuh kedudukan sebagai pusat kecemerlangan dalam inovasi pendidikan digital sekali gus memastikan sistem pembelajaran sepanjang hayat yang lestari, berkesan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Maklumat Penulis:
Pensyarah Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI, Profesor Madya Dr Saipolbarin Ramli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my