Cikgu Adira, wira pendidikan khas!

Iklan
Nur Adira (dua dari kanan) sangat disenangi para pelajar.

Terima pengiktirafan daripada SENIA menerusi World Changer Award

Dunia pendidikan khas Malaysia sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Nur Adira Mad Harim diumumkan sebagai penerima World Changer Award bagi bulan Februari ini.

Anugerah oleh Special Education Network & Inclusion Association (SENIA) itu mengiktiraf sumbangan luar biasa guru berkenaan mengenai pemerkasaan penggunaan bahasa isyarat dalam kalangan pelajar berkeperluan khas termasuk ketika majlis rasmi dan persembahan nyanyian secara langsung.

Iklan
Iklan

Sebagai pendidik di Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Nur Adira, 31, sudah lama berusaha memastikan pelajarnya dengan masalah pendengaran dapat menikmati pengalaman pembelajaran setara seperti pelajar lain.

Salah satu usaha kreatifnya adalah menterjemah lirik lagu sewaktu majlis anugerah dan konvokesyen.

Iklan

Selain itu, Nur Adira juga aktif dalam membimbing pelajar pendidikan khas menyertai pertandingan seni dan sukan sehingga ke peringkat kebangsaan.

Beberapa pelajar KV Keningau juga pernah menerima SENIA Student Award dan SENIA Studen Honorary Award hasil usaha gigih serta sokongan padu sosok yang bernama Nur Adira.

Iklan

Bukan itu sahaja, sewaktu negara berdepan dengan pandemik Covid-19, Nur Adira melatih pelajar-pelajar dalam pertandingan video bahasa isyarat termasuk persembahan puisi yang turut meraih anugerah dalam pelbagai pertandingan dalam talian.

Ada antara pelajarnya berpeluang mempersembahkan puisi bahasa isyarat sempena Hari Kebangsaan dan persidangan antarabangsa.

Sijil pengiktirafan Nur Adira.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang berkongsi rasa bangga dengan pencapaian Nur Adira yang menyifatkan usaha guru berkenaan sebagai langkah penting menjadikan pendidikan inklusif dan meluas.

"Dengan pengiktirafan ini, saya mengharapkan akan ada lebih ramai pendidik menjadikan kejayaan Nur Adira sebagai inspirasi mereka dalam memperjuangkan hak dan keperluan pelajar istimewa,” katanya kepada Sinar Bestari.