SK Damansara Utama, UiTM jalin kerjasama dalam pembangunan sukan

Iklan
Raja Mohammed Firhad (empat dari kiri) dan Mohammad Izaham (tiga dari kanan) bersalaman selepas menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) baru-baru ini.

Pembangunan sukan merujuk kepada usaha yang dilakukan secara sistematik untuk meningkatkan mutu dan penyertaan dalam bidang sukan di pelbagai peringkat sama ada di sekolah, komuniti, negeri atau negara.

Ia melibatkan aspek latihan, pembangunan bakat, penyediaan kemudahan, bimbingan kejurulatihan, penganjuran program dan pertandingan sukan.

Iklan
Iklan

Kerana kepentingan itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor mengambil inisiatif bekerjasama dengan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dengan tujuan membangunkan sukan di sekolah itu.

Dalam masa sama, kolaborasi tersebut turut membabitkan warga sekolah sekitar Petaling Utama.

Iklan

Bentuk kerjasama yang telah dimeterai antara mereka adalah penyelidikan, program latihan industri dan praktikal, perkongsian ilmu, pembangunan atlet, penganjuran acara sukan serta penglibatan komuniti.

Ia juga memfokuskan kepada program pertukaran staf dan pelajar serta persediaan atlet sekolah untuk kejohanan seperti Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (SUKMA).

Iklan

Sementara itu, Dekan FSSR, Profesor Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, memuji usaha SK Damansara Utama dalam membangunkan sukan di peringkat sekolah dan daerah.

"Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid-murid sekolah malah turut membantu meningkatkan taraf pembangunan sukan di daerah Petaling Utama secara keseluruhan.

"Dengan adanya program pembangunan atlet yang terancang, bimbingan tenaga pengajar berkelayakan dan sokongan penuh pihak sekolah serta komuniti, saya yakin SK Damansara Utama berpotensi menjadi contoh dan peneraju dalam melahirkan bakat-bakat sukan muda yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Damansara Utama, Mohammad Izaham berkata, kerjasama tersebut akan membuka peluang kepada guru dan pelajar di Petaling Utama untuk memperoleh lebih banyak ilmu, pengalaman serta teknologi dalam bidang sukan.

Paling menggembirakan lagi katanya, sekolah berkenaan adalah sekolah rendah pertama yang bekerjasama dan menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) bersama UiTM.