Nilai murni 5 cerita rakyat Melayu bentuk keperibadian murid

Iklan
Program Cuti Sekolah Kanak-Kanak anjuran Pusat Jagaan Kanak-Kanak Sufi Kreatif diisi dengan pelbagai aktiviti menarik yang bermanfaat.

Baru-baru ini, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Sufi Kreatif di Proton City, Tanjong Malim, Perak menganjurkan Program Cuti Sekolah Kanak-Kanak bagi memastikan waktu cuti mereka dipenuhi dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

Lima cerita rakyat Melayu yang terkenal iaitu Puteri Walinong Sari, Kisah Si Luncai, Naga Tasik Chini, Puteri Dayang Senandong dan Lagenda Bujang Senang telah diangkat menjadi intipati sepanjang program berlangsung.

Iklan
Iklan

Lebih 25 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun menyertai aktiviti bercerita, tayangan video animasi dan aktiviti seni kreatif yang menyeronokkan sebelum mereka melakonkan semula cerita rakyat itu.

Kepelbagaian medium seperti aplikasi komputer, lukisan, catan, kolaj dan solekan wajah serta seni fesyen untuk persembahan lakonan digunakan dengan menggabungkan kisah sastera dan kemahiran seni kreatif demi menarik minat peserta menghayati cerita rakyat yang begitu menarik dan tinggi nilainya.

Iklan

Lagenda Bujang Senang

Dalam sesi cerita Lagenda Bujang Senang, para peserta dapat mengetahui kisah di sebalik pahlawan masyarakat Iban di Sarawak bernama Simalungun yang mati dalam pertarungan lalu disumpah menjadi seekor buaya bersaiz besar dan memburu keturunan pembunuhnya.

Iklan

Kekuatan buaya Bujang Senang telah menggemparkan seluruh negara malah kisah ini telah diceritakan semula dalam beberapa versi tersendiri.

Peserta, Aisya Humaira Syazwan berkata, dia tertarik dengan penggunaan dialog dalam kisah berkenaan yang banyak menggunakan dialek bahasa Iban.

Ujarnya, antara perkataan yang diingati adalah nuan, makai, ngirup, bejalai, pulai, endak, labai dan dindang.

Pengetua Pusat Jagaan Kanak-Kanak Sufi Kreatif, Suraya Ismail berkata, keunikan dialek di setiap daerah dalam negeri di Malaysia sememangnya mencerminkan keunggulan variasi bahasa dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Dengan memperkenalkan budaya negeri lain kepada kanak-kanak dan murid, ia dapat mendorong mereka untuk mengajak ibu-bapa melancong ke tempat-tempat bersejarah dalam Malaysia.

"Ia juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan yang berguna,” ujarnya.

Naga Tasik Chini

Menerusi kisah Naga Tasik Chini, para peserta telah menghasilkan hasil seni kreatif dengan teknik kolaj di atas permukaan kertas berbentuk naga bersaiz besar.

Mereka bukan sahaja mendengar cerita rakyat malah dilatih kemahiran berkomunikasi sesama rakan.

Dalam interaksi harian, murid-murid ini diajarkan nilai meminta bantuan, mendengar arahan, melaksanakan tugasan, berkongsi peralatan dan mempersembahkan hasil aktiviti dengan yakin dan berani.

Hasil karya iaitu kolaj naga bersaiz besar juga telah menterjemahkan kisah rakyat mengenai naga raksasa yang ganas di mana ia makhluk mitos yang menjaga keamanan di Tasik Chini, Pahang.

Puteri Dayang Senandong

Para peserta telah mendengar kisah wanita baik hati yang dilahirkan dengan wajah dan tubuh hitam legam.

Beliau telah disisihkan oleh ibu mertuanya dan diarahkan dibuang ke dalam hutan bersama anak dalam kandungan.

Atas kebaikan hatinya, pengawal yang diarahkan untuk membunuh Puteri Dayang Senandong tidak sampai hati lalu memberikan bantuan.

Di hujung cerita, beliau telah diselamatkan oleh abang kandungnya sendiri dan dalam masa sama, turut menyelamatkan suami Puteri Dayang Senandong yang dijadikan tawanan perang.

Walaupun diperlakukan dengan kejam, Puteri Dayang Senandong tidak menyimpan dendam dan telah memafkan ibu mertua.

Kulitnya yang hitam juga telah menjadi putih dan wajahnya menjadi sangat jelita merefleksikan hukum karma iaitu buat baik dibalas dengan kebaikan manakala buat jahat dibalas dengan keburukan.

Menurut Raisha Naureen Ridzuan yang melakonkan watak Puteri Dayang Senandong, ini merupakan satu pengalaman yang cukup menyeronokkan.

"Saya dapat mengetahui kisah rakyat Melayu yang penuh dengan nilai-nilai baik malah aktiviti solekan, pemakaian baju tradisional dan lakonan yang dimainkan memberi kesan positif dalam membentuk minat kepada mata pelajaran sastera di sekolah kelak,” ujarnya.

Bagi pasangan adik-beradik, Auliya Audi Hani (memegang watak ibu mertua Puteri Dayang Senandong) dan Affan Hadif Auni Hadi, mereka menjelaskan bahawa keluarganya begitu teruja dan berbangga dapat melihat hasil lakonan dan persembahan visual ringkas yang dipamerkan menerusi aktiviti ini.

"Walaupun pada mulanya berasa malu untuk berlakon di hadapan kawan-kawan, kami tetap seronok apabila cerita rakyat yang menarik ini mudah untuk difahami dan dilakonkan.

"Ia juga membantu saya dan kawan-kawan tampil lebih yakin dalam menonjolkan bakat yang ada,” katanya.

Akhir sekali, Pengurus Program, Cikgu Mohd Firdhaus Hasraf Hassan menjelaskan bahawa banyak lagi kisah rakyat Melayu yang akan diketengahkan dalam program cuti sekolah akan datang.

"Setiap negeri, daerah atau kampung mempunyai cerita yang tersendiri.

"Menjadi tugas para pendidik untuk memperkenalkannya kepada kanak-kanak bagi tujuan mengimbangi kemasukan cerita negara luar yang tidak dapat disekat pada zaman ini,” jelasnya.

Maklumat Penulis:

Guru Seni Visual, Kelas Seni Kreatif Kanak-Kanak @ Sufi Kreatif, Proton City, Tanjong Malim, Perak, Cikgu Mohd Firdhaus Hasraf Hassan

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my