KPN cadang Modul Pendidikan Rukun Negara diperluas ke semuka tadika

Iklan
(Gambar hiasan)

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan supaya Modul Pendidikan Rukun Negara diperluaskan ke semua tadika di seluruh negara termasuk prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) dan tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, modul itu antara tiga modul khusus yang dibangunkan dan diajar di Tabika Perpaduan ketika ini.

Iklan
Iklan

"Kita memang berharap agar Modul Pendidikan Rukun Negara ini dapat diperluaskan kepada semua tadika di seluruh negara baik di bawah KPM, Kemas mahupun swasta kerana ia merupakan pendidikan asas kepada perpaduan.

"Kita sudah cadangkan kepada KPM dan ketika ini kita akan laksanakan bengkel-bengkel penyelarasan dengan pihak terlibat," katanya kepada pemberita selepas program Cilik Perpaduan Kembali Ke Tabika dan Taska Perpaduan 2025 di sini.

Iklan

Terdahulu, Aaron dalam ucapannya berkata Program Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Tabika Perpaduan memfokuskan kepada elemen penghayatan Pendidikan Rukun Negara dan nilai-nilai murni di samping Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).

"Modul-modul khusus yang berteraskan perpaduan dan kenegaraan telah dibangunkan untuk diterapkan kepada murid seawal usia," katanya.

Iklan

Beliau berkata pada masa kini terdapat 1,781 Tabika Perpaduan dan 41 Taska Perpaduan dengan jumlah murid berdaftar pada hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 masing-masing sebanyak 34,654 dan 990 orang.

Aaron berkata, menerusi Belanjawan MADANI 2025, kementeriannya diperuntukkan RM5 juta bagi menambah baik 119 tabika perpaduan di seluruh negara.

"Pada tahun ini juga, kementerian menyalurkan RM33.73 juta bagi penyediaan pelbagai kemudahan seperti Starter Kit Tabika Perpaduan; Strater Kit Taska Perpaduan; Buku Aktiviti Murid Tabika Perpaduan dan Buku Log Harian Taska Perpaduan," katanya.

Selain itu, Aaron berkata Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional juga telah membekalkan Perkhidmatan Internet CelcomDigi di Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan dengan peruntukan RM763,200 bagi menambah baik kemudahan akses Internet. - Bernama