STEM Racing dedah pelajar teroka peluang kerjaya

Iklan
Antara pengisian program STEM Racing Peringkat Kebangsaan 2024/2025 berlangsung selama tiga hari UiTM Melaka minggu lalu.

TalentCorp beri kesedaran, pendedahan kemahiran diperlukan industri

Penganjuran STEM Racing disokong penuh oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dalam membangunkan bakat baharu tempatan, selain memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang pekerjaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Naib Presiden Kanan TalentCorp, Mas Muhammad Hakim Masika berkata, TalentCorp menyokong dan menjadi rakan strategik dalam pelaksanaan program itu bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai bidang STEM.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kekurangan maklumat dan pendedahan mengenai bidang kemahiran STEM menyebabkan potensi bakat baharu tidak dapat diketengahkan.

Program itu dianjurkan oleh STEM Racing Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), manakala TalentCorp sebagai rakan strategik.

Iklan

"STEM Racing merupakan inisiatif inovatif yang menggabungkan pembelajaran interaktif dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) membabitkan penyertaan 500 pelajar sekolah menengah seluruh negara berlangsung selama tiga hari di UiTM Melaka.

"STEM Racing mempunyai peranan menarik minat pelajar untuk ceburi STEM. Bagi kami, ia platform terbaik untuk diketengahkan kerana membabitkan program yang menyeluruh," katanya ditemui pada Majlis Penutup Pertandingan STEM Racing Peringkat Kebangsaan 2024/2025 pada Rabu.

MAS MUHAMMAD HAKIM

Iklan

Beliau berkata, setiap pelajar dalam program itu dilatih kerja berpasukan apabila masing-masing mempunyai peranan sendiri sebagai pereka bentuk kejuruteraan, pemasaran, pengurusan projek dan lain-lain.

Malah katanya, peserta juga perlu melengkapkan projek dengan mencari penaja serta percubaan produk dan itu merupakan pendedahan terbaik pelajar dalam dunia pekerjaan.

Ujarnya, selain menyokong STEM Racing, TalentCorp turut melaksanakan beberapa inisiatif lain untuk memberi kesedaran tentang landskap pekerjaan Malaysia, kemahiran masa hadapan dan kebolehpasaran pelajar.

"Antara inisiatif yang TalentCorp laksanakan di peringkat sekolah ialah YES! Rock The School dan YES! Counsellor untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang peluang pekerjaan dan cabaran pekerjaan masa hadapan serta kemahiran diperlukan oleh industri untuk bantu mereka membuat keputusan kerjaya," katanya.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh KPM, Ismail Ibrahim (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian penutup STEM Racing Peringkat Kebangsaan 2024/2025 pada Selasa.

Pembangunan bakat tempatan

Kongsi Mas Muhammad Hakim, TalentCorp turut mempunyai satu platform iaitu MyMAHIR yang mengandungi hasil Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Pendigitalan dan Ekonomi Hijau ke atas Landskap Pekerjaan di Malaysia.

"Kajian itu telah dilancarkan pada November tahun lepas melibatkan 10 sektor industri dan kini telah memasuki fasa kedua melibatkan 12 sektor lagi.

"Hasil kajian itu, kita masukkan ke dalam platform tersebut yang boleh diakses secara online melalui www.myMahir.my untuk rujukan pelajar sekolah hingga ke peringkat profesional berkaitan kemahiran dan pekerjaan masa hadapan serta peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang perlu dilakukan," katanya.

Beliau berkata, TalentCorp melaksanakan inisiatif profiling pelajar untuk bantu mereka memilih kerjaya berdasarkan bakat atau kekuatan yang ada dalam diri.

Ujarnya, TalentCorp turut mengambil inisiatif melaksanakan program pemerkasaan guru bimbingan kaunseling dengan kerjasama KPM di bawah YES! Counsellor memperkasa peranan guru bimbingan kaunseling dengan perkongsian maklumat terbaru berkaitan landskap pekerjaan termasuk kajian impak yang dijalankan.

Turut dilaksanakan TalentCorp ialah MyMAHIR Future Skills Talent Council (MyMAHIR FSTC) yang diterajui kapten-kapten industri berpandukan sektor industri, untuk melahirkan bakat baharu sedia industri dalam sektor-sektor mereka.

Menerusi inisiatif itu, pihak industri akan mengenal pasti keperluan tenaga kerja dan kemahiran yang diperlukan dalam sektor mereka. Setelah itu, bakat-bakat yang yang terpilih akan diberikan latihan peningkatan kemahiran bersesuaian untuk masuk bekerja dalam sektor itu.

Inisiatif MyMAHIR FSTC selari dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization, ILO) untuk diwujudkan pendekatan berasaskan sektor kerana ia membolehkan perancangan pembangunan bakat dilaksanakan secara bersasar mengikut keperluan unik setiap sektor industri.

Mas Muhammad Hakim berkata, TalentCorp sentiasa memberi fokus dalam pembangunan bakat tempatan yang meliputi keperluan semua sektor termasuklah STEM yang menjadi keperluan negara pada masa kini.

Tambahnya, TalentCorp bukan sahaja memberi penekanan dalam sektor STEM malah pada masa yang sama, program-program yang dijalankan mengambil kira keseluruhan aspek pembangunan bakat.

Bukan sekadar teori

Sementara itu, peserta yang mengikuti pertandingan STEM Racing berpandangan pertandingan tersebut memberi pendedahan peluang kerjaya buat mereka.

Pelajar Kolej Vokasional Sepang, Mohd Zaki Omar Osman, 18, berkata, banyak ilmu dipelajari dalam bidang perniagaan secara keseluruhan yang bukan hanya berkaitan reka bentuk kereta tetapi kaedah pemasaran dan pembentangan kertas kerja untuk meyakinkan penaja.

MOHD ZAKI

"Pertandingan ini mengajar saya cara bersosial, bekerja secara profesional dengan pembentangan kertas kerja lebih berkualiti. Saya dapat banyak manfaat melalui belajar di lapangan dan perkara itu tidak diajar di dalam kelas," katanya.

Bagi pelajar Akademi Sains Pendang, Muhammad Aidil Ahmad Shahnizam, 16, pertandingan ini membuka mata peserta bahawa STEM bukan sekadar sebuah teori sebaliknya, ia peluang kerjaya yang penuh dengan inovasi.

"Kami bukan sekadar perlu mengetahui tentang kejuruteraan dan aerodinamik tetapi belajar tentang nilai bekerjasama sebagai satu pasukan, kepimpinan dan berkomunikasi antara satu sama lain.

"Saya sendiri merasakan pertandingan ini dapat menarik minat pelajar untuk meneroka bidang pekerjaan dalam bidang berkenaan. Ia membuatkan saya rasa lebih tertarik untuk memasuki kerjaya STEM, mengubah persepsi daripada sebuah teori kepada sesebuah kerjaya yang menyeronokkan, mencabar dan juga dapat mengubah dunia dengan impak yang besar," katanya.

Untuk rekod, STEM Racing Peringkat Kebangsaan 2024/2025 kali ini dimenangi pasukan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra Johor seterusnya bakal mewakili negara bertanding di peringkat dunia.