Anugerah Pengakap Raja adalah penghormatan tertinggi dalam pergerakan Pengakap Malaysia.
Ia diberikan kepada ahli Pengakap Remaja yang telah memenuhi pelbagai syarat ketat dalam bidang kepimpinan, kemahiran dan khidmat masyarakat.
Bagi seorang pelajar, mendapat pengiktirafan dalam pengakap adalah satu pencapaian tertinggi buat dirinya.
Bukan sahaja menjadi kebanggaan peribadi tetapi juga membuktikan kemampuan mereka dalam kepimpinan, ketahanan diri dan kemahiran hidup.
Terbaharu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, Melaka, Muhammad Adam Izzudin melahirkan rasa terharu dan terkejut kerana terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Pengakap Raja dalam Istiadat Penganugerahan Bintang, Pingat dan Penyampaian Sijil Pengakap Raja pada Isnin.
Dia yang mewakili Daerah Masjid Tanah berkongsi pengalaman perjalanannya yang penuh liku namun berbaloi sepanjang menyertai pengakap.
"Segala usaha, pengorbanan dan dedikasi selama ini akhirnya dihargai.
"Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu saya dalam pelbagai aspek.
"Sesungguhnya, pengalaman sebagai ahli pengakap telah membentuk diri saya dengan nilai-nilai murni seperti disiplin, kerjasama berpasukan dan keprihatinan terhadap masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Pengakap Negeri Melaka, Muhammad Zulhusnie Khalib berkata, penganugerahan itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap kecemerlangan individu dalam bidang kepengakapan, tetapi juga merupakan lambang keunggulan dan pencapaian tertinggi dalam hierarki Pengakap Malaysia.
"Para penerima Anugerah Pengakap Raja ini telah membuktikan diri mereka sebagai pemimpin masa depan unggul, memiliki disiplin tinggi, keberanian utuh serta semangat berbakti yang kental kepada masyarakat,” ujarnya selaku guru SMK Katholik (M), Gajah Berang, Melaka.
Menurut beliau, Pergerakan Pengakap bukanlah sekadar aktiviti kokurikulum biasa, tetapi ia merupakan wadah pembentukan jati diri, kemantapan semangat kepimpinan dan keupayaan berdikari yang tulen dalam kalangan ahlinya.
"Untuk meraih Anugerah Pengakap Raja, setiap calon perlu melalui proses saringan yang amat ketat.
"Antaranya latihan kepimpinan intensif, projek khidmat masyarakat yang mencabar, kem berkawad yang menguji ketahanan fizikal dan mental serta ujian survival di lapangan,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 87 pelajar cemerlang yang merupakan ahli pengakap dari enam daerah iaitu Daerah Masjid Tanah, Daerah Alor Gajah, Daerah Merlimau, Daerah Jasin, Daerah Kota dan Daerah Tengkera di Melaka diangkat penerima Anugerah Pengakap Raja.
Majlis penuh prestij di Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh, Melaka dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam yang menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut.
Hadir sama pemimpin kanan Pengakap Negeri Melaka, guru-guru penasihat, ibu bapa dan rakan-rakan penerima anugerah bagi memberikan sokongan moral dan merakamkan detik bersejarah majlis berkenaan.