SK Kampung Soeharto lancar infak TV pintar

Iklan
Murid SK Kampung Soeharto belajar secara interaktif menerusi set TV pintar yang dipasang pada akhir tahun lalu.

Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Soeharto, Kuala Kubu Bharu, Selangor melancarkan Program Infak Televisyen (TV) Pintar sebagai usaha mengumpul dana sebanyak RM21,000 bagi memantapkan sistem pendidikan digital di sekolah berkenaan.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Kharol Zamal Husain berkata, penggunaan TV pintar bukan sahaja membantu guru menyampaikan pelajaran dengan lebih berkesan tetapi juga membolehkan murid mengakses bahan pembelajaran multimedia lebih menarik.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, program itu penting bagi meningkatkan kualiti pendidikan terutamanya dalam era digital yang semakin berkembang.

"Kami percaya bahawa dengan adanya TV pintar di setiap kelas, murid dapat menikmati pengalaman pembelajaran lebih interaktif dan berkesan," katanya pada Isnin.

Iklan

Kharol Zamal memberitahu, dua unit TV pintar sebelum ini telah berjaya dipasang di Kelas Tahun 1 dan Tahun 3 pada akhir tahun lalu hasil daripada sumbangan ibu bapa.

Bagaimanapun, katanya, pihak sekolah masih memerlukan 10 unit lagi bagi memastikan semua kelas dilengkapi kemudahan sama.

Iklan

"TV pintar akan digunakan untuk menyampaikan kandungan pendidikan seperti video, animasi dan bahan interaktif secara langsung di dalam kelas.

"Antara manfaatnya ialah guru tidak perlu lagi menghimpunkan murid untuk sesi taklimat atau sebarang hebahan daripada pihak sekolah sebaliknya dapat menjimatkan masa dengan menyalurkan maklumat secara terus kepada TV pintar di kelas masing-masing," jelas beliau.

Katanya, TV pintar itu turut dilengkapi dengan infrastruktur sedia ada termasuk kelajuan internet 500 megabait per saat (Mbps) di bilik guru, pejabat dan makmal komputer yang mampu menyokong penggunaannya secara optimum.

"Projek ini dijangka memberi manfaat kepada 308 warga sekolah ini jika ia dapat direalisasikan," tambah beliau.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan dana ke akaun Maybank Berhad milik P.I.B.G SEK KEB KG SOEHARTO dengan nombor akaun (0080 8330 2962) serta rujukan 'Televisyen' atau menghubungi Kharol Zamal di talian (010-8470084) untuk maklumat lanjut.