Purata gaji bulanan kasar graduan di Singapura yang memperoleh pekerjaan sepenuh masa dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian meningkat sebanyak 4.24 peratus iaitu SG$4,500 (RM15,000) pada tahun 2024.
Bagaimanapun, berdasarkan Kajian Pekerjaan Siswazah Universiti Autonomi Bersama 2024 mendapati, kadar graduan yang berjaya mendapatkan pekerjaan sepenuh masa dalam tempoh tersebut menurun kepada 79.5 peratus berbanding 84.1 peratus pada tahun sebelumnya.
Kajian itu dikeluarkan oleh lima universiti di negara Kota Singa tersebut iaitu Universiti Nasional Singapura, Universiti Teknologi Nanyang, Universiti Pengurusan Singapura, Universiti Sains Sosial Singapura serta Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura.
Ia melibatkan 12,500 graduan yang menamatkan pengajian pada 2024 dan tergolong dalam tenaga buruh dengan status pekerjaan mereka direkodkan pada 1 November 2024, kira-kira enam bulan selepas tamat peperiksaan akhir.
Dalam masa sama, kadar graduan yang mendapat pekerjaan merosot merentasi berbilang industri pada tahun lalu di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global dan permintaan pengambilan kakitangan lebih lemah.
Graduan sains kesihatan mengalami penurunan paling teruk iaitu 91.2 peratus memperoleh pekerjaan sejurus selepas tamat pengajian pada 2024 berbanding 97.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Selain itu, kadar graduan yang masih menganggur termasuk mereka yang sedang mencari pekerjaan atau merancang untuk memulakan perniagaan, meningkat kepada 12.9 peratus pada 2024.
Dalam kalangan graduan yang bekerja pula, enam peratus memegang jawatan sambilan atau sementara meningkat berbanding empat peratus tahun sebelumnya.
Sektor perniagaan mencatatkan peningkatan gaji terbesar daripada S$4,150(RM14,000) pada 2023 kepada SG$4,400 (RM15,000) pada 2024.
Manakala graduan dalam bidang seni, reka bentuk dan media mencatatkan kenaikan gaji paling kecil daripada SG$3,740 (RM12,000) kepada SG$3,800 (RM13,000) dalam tempoh sama. - Agensi