Sekumpulan mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Malaysia serta Institut Sains dan Teknologi Nadhlatul Ulama Bali (ISTNUBA), Indonesia berkongsi idea dan pandangan tentang pelbagai isu menerusi Forum Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Perkongsian yang berlangsung di ISTNUBA pada Selasa, membincangkan isu Perubahan Iklim (SDG 13), Kesaksamaan Jantina (SDG 5) dan Kualiti Pendidikan (SDG 4) bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam kesukarelawan antarabangsa.
Wakil UiTM, Nur Adilah Muhammad berkata, Perubahan Iklim bukan sekadar isu alam sekitar tetapi turut menjejaskan sistem pendidikan melalui bencana alam seperti banjir yang mengganggu sesi pembelajaran.
"Jerebu yang berlaku setiap tahun akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan mengancam kesihatan pelajar dan memaksa sekolah ditutup.
"Manakala banjir kilat dan gempa bumi merosakkan infrastruktur sekolah. Justeru, kesedaran dan tindakan segera perlulah dilaksanakan bagi menangani isu ini demi generasi akan datang,” ujarnya selaku Pengarah Program Global Volunteer Mission to Bali, Indonesia di forum itu.
Presiden Mahasiswa ISTNUBA, Ahmad Nur Alfin pula berkongsi pendapatnya mengenai isu Kesaksamaan Jantina.
"Laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kebudayaan Indonesia 2023 menunjukkan kadar keciciran pelajar perempuan meningkat 12 peratus akibat tekanan ekonomi pasca pandemik.
"Oleh itu, program seperti SDGs Talks berperanan meningkatkan kesedaran dan mencari penyelesaian kepada isu-isu pendidikan secara inklusif," jelasnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Prime Mover UiTM, Mohamad Aiman Hakim turut membangkitkan ketidaksamaan akses pendidikan di kawasan pedalaman.
Beliau menekankan kepentingan penyelesaian inovatif oleh kerajaan dan kerjasama serantau bagi memastikan pendidikan berkualiti serta inklusif.
Secara kesimpulannya, forum yang dianjurkan Kelab Prime Mover UiTM dengan kerjasama Badan Eksekutif Mahasiswa ISTNUBA telah membuka ruang perbincangan dan membolehkan pertukaran idea serta pandangan antara mahasiswa dua negara demi mencapai matlamat SDGs.
Maklumat Penulis:
Exco Tugas-Tugas Khas (Global Volunteer Mission 3.0 Bali, Indonesia) merangkap mahasiswa UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Muhammad Faiz Firdaus Mohd Fuzhi
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my