Hilang sejak 12 hari lalu, akhirnya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Jalan Peel, Kuala Lumpur, Nur Khalisya, 16, sudah pun ditemui dalam keadaan selamat oleh pihak polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, pelajar itu ditemui di rumah keluarga angkatnya di Jalan Sikamat Lama, Seremban Putra, Negeri Sembilan.
"Orang Hilang (OH), Nur Khalisya telah ditemui dalam keadaan selamat pada Sabtu di rumah keluarga angkatnya di sini.
"Maklumat lanjut akan menyusul,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Nur Khalisya yang merupakan adik kepada bekas penyerang Harimau Malaya, Hadin Azman dilaporkan hilang oleh ibunya, yang membuat laporan polis pada jam 11.29 malam (25 Februari).
Menurut ibu pelajar terbabit, dia telah menghantar anaknya ke sekolah pada jam 7 pagi dan datang semula ke sekolah pada pukul 4 petang untuk mengambil Nur Khalisya (dikatakan mempunyai kelas tarian).
"Bagaimanapun, selepas menunggu hampir 40 minit, anaknya tidak muncul sebelum pengawal keselamatan sekolah memaklumkan tiada pelajar berada di kawasan sekolah pada waktu itu," menurut artikel yang disiarkan Sinar Bestari pada Jumaat.