Universiti Islam Al-Andalusia Sepanyol memerlukan dana berjumlah RM9.57 juta (€2 juta) bagi membiayai penubuhan kampus pertamanya setelah lebih enam tahun beroperasi secara dalam talian.
Berkongsi perkara itu, Rektor Universiti, Sheikh Mohammad Idrissi berkata, kampus yang terletak di Seville bakal menjadi Pusat Kajian Andalusia selain menjadi hab kepada pendidikan Islam, budaya, warisan serta mempromosikan dialog antara agama di seluruh negara.
"Sejak 2019, pelajar hanya mengikuti pengajian secara dalam talian dan sudah tiba masanya kami wujudkan sebuah kampus bagi memudahkan mereka menjalani pembelajaran serta pengajaran bersemuka dengan pensyarah.
"Alquería atau Cortijo (bangunan/rumah dalam bahasa Sepanyol) ini terletak di kawasan estet Andalusia yang berusia lebih 115 tahun dan pernah didiami oleh umat Islam ketika zaman Andalus, menjadikan persekitarannya ideal untuk universiti dan pusat penyelidikan," katanya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohammad Idrissi memaklumkan bahawa kawasan Cortijo berkeluasan 18 hektar di selatan Sepanyol itu mempunyai kemudahan dan akses bilik darjah yang mampu menempatkan lebih 700 pelajar.
Selain itu, katanya, kawasan berkenaan juga mempunyai ruang kediaman yang mampu menampung seramai 180 pelajar, di samping kemudahan dobi, masjid, dapur serta keperluan logistik lain.
"Dana yang diperlukan itu melibatkan pembelian Cortijo bagi menjamin pemilikan hartanah, pengubahsuaian dan pembaikan asas, pembelian perabot dan peralatan, kos operasi bagi pembiayaan awal kakitangan, utiliti serta pembangunan program pengajian.
"Kami berharap dapat mengumpulkan dana tersebut sebelum September depan bagi memastikan pengoperasian kampus universiti dapat bermula selewat-lewatnya akhir tahun ini," ujarnya.
Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai Universiti Islam Al-Andalusia Sepanyol, boleh melayari laman web https://alandalusia.org/.