Kewangan peribadi & pengurusan hutang pelajar IPT

Iklan
Pengurusan kewangan yang bijak menjadi penting bagi memastikan kelangsungan pendidikan dan kesejahteraan pelajar. Gambar kecil, Wan Mohamad Hairul Haikal (atas) dan Jaharudin (bawah)

Isu kewangan peribadi dan pengurusan hutang dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan topik yang semakin mendapat perhatian di Malaysia.

Seiring dengan peningkatan kos pendidikan dan kehidupan yang semakin mencabar, pengurusan kewangan yang bijak menjadi penting bagi memastikan kelangsungan pendidikan dan kesejahteraan pelajar.

Iklan
Iklan

Bagi pelajar, isu kewangan menjadi salah satu cabaran terbesar sepanjang tempoh pengajian mereka.

Kebanyakannya bergantung kepada pinjaman pendidikan, bantuan kewangan dan pekerjaan sambilan untuk menampung kos pengajian serta perbelanjaan harian.

Iklan

Namun, tanpa pengurusan kewangan yang baik, mereka boleh terjerumus dalam masalah kewangan yang lebih besar seperti hutang yang sukar untuk dibayar selepas tamat pengajian.

Oleh itu, pengurusan kewangan dan hutang adalah aspek yang perlu diberi perhatian serius oleh pelajar IPT untuk memastikan mereka tidak hanya berjaya dalam pengajian tetapi juga dalam mencapai kestabilan kewangan di masa depan.

Iklan

Kos sara hidup tinggi

Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh pelajar IPT ialah kos sara hidup yang tinggi.

Kos sara hidup yang semakin meningkat di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur juga memberi tekanan kepada pelajar IPT.

Kos penginapan, pengangkutan dan makanan meningkat setiap tahun, menjadikan pelajar terpaksa menguruskan kewangan mereka dengan lebih bijak.

Selain itu, sebahagian pelajar mungkin terpaksa bekerja sambilan untuk menampung kos tersebut yang kadang kala mengganggu fokus mereka terhadap pelajaran.

Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, pengurusan kewangan menjadi semakin penting agar pelajar dapat menyesuaikan diri dengan situasi yang berubah-ubah.

Penggunaan kad kredit

Selain itu, pelajar IPT sering kali terdedah kepada penggunaan kad kredit sebagai cara untuk menguruskan kewangan mereka.

Walaupun kad kredit menawarkan kemudahan dan fleksibiliti dalam pembayaran, ia juga boleh menyebabkan pelajar berhutang tanpa kawalan.

Ketiadaan disiplin dalam penggunaan kad kredit boleh membawa kepada penangguhan pembayaran yang akhirnya menyebabkan beban hutang yang lebih besar disebabkan oleh kadar faedah yang tinggi.

Tanpa pemahaman jelas mengenai cara menggunakan kad kredit secara bijak, pelajar berisiko terjebak dalam lingkaran hutang yang sukar untuk diselesaikan.

Pinjaman pendidikan

Di Malaysia, ramai pelajar IPT yang bergantung kepada pinjaman pendidikan seperti Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membiayai kos pengajian mereka.

Walaupun pinjaman ini memberi peluang kepada pelajar untuk meneruskan pengajian, ia juga membawa risiko dalam hal pengurusan kewangan.

Kebanyakan pelajar tidak menyedari beban kewangan yang bakal mereka tanggung selepas tamat pengajian terutamanya jika mereka gagal mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang mencukupi untuk membayar balik pinjaman tersebut.

Ini sering menjadi punca kebimbangan kewangan bagi graduan baru yang belum stabil dalam kerjaya mereka.

Pengurusan hutang yang berkesan merupakan kemahiran yang amat penting bagi pelajar IPT yang ingin mengelakkan diri daripada terperangkap dalam beban hutang.

Oleh itu, adalah penting untuk pelajar mempelajari cara-cara menguruskan kewangan peribadi dengan bijak supaya mereka dapat mengelakkan masalah hutang pada masa depan.

Cara menguruskan kewangan

Salah satu langkah pertama dalam pengurusan kewangan peribadi ialah membuat perancangan kewangan yang teratur.

Pelajar perlu membuat bajet bulanan yang memfokuskan pada pendapatan dan perbelanjaan mereka.

Dengan memahami aliran tunai, pelajar dapat mengetahui berapa banyak wang yang mereka miliki setiap bulan dan memastikan bahawa mereka tidak melebihi had perbelanjaan mereka.

Perancangan kewangan yang baik juga boleh membantu pelajar menabung untuk tujuan tertentu seperti bayaran balik pinjaman atau perbelanjaan kecemasan.

Pelajar yang bergantung kepada pinjaman pendidikan perlu memahami sepenuhnya syaratsyarat pinjaman tersebut termasuk kadar faedah, tempoh pembayaran dan pelan pembayaran balik.

Sebelum meminjam, pelajar harus menilai keperluan sebenar dan berusaha untuk meminimakan jumlah pinjaman yang diambil.

Dalam hal ini, mereka juga boleh mencari sumber pembiayaan alternatif seperti biasiswa atau bantuan kewangan dari kerajaan atau organisasi bukan kerajaan, yang tidak memerlukan bayaran balik.

Dengan pengurusan pinjaman yang bijak, pelajar boleh mengurangkan beban hutang selepas tamat pengajian.

Penggunaan kad kredit perlu dilakukan dengan berhati-hati. Pelajar harus mengelakkan diri daripada menggunakan kad kredit untuk perbelanjaan yang tidak penting atau melebihi kemampuan mereka.

Mereka juga harus memastikan bahawa mereka dapat membayar balik jumlah yang dibelanjakan dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan caj faedah yang tinggi.

Pendidikan mengenai penggunaan kad kredit yang bijak harus diberikan kepada pelajar sebagai sebahagian daripada kursus kewangan peribadi untuk membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih berkesan.

Tingkatkan pendidikan kewangan

Untuk membantu pelajar IPT menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik, pendidikan kewangan perlu dipertingkatkan di peringkat universiti.

Program-program latihan kewangan yang memberi pengetahuan mengenai bajet, pengurusan hutang, pelaburan dan perancangan kewangan jangka panjang harus diwajibkan di semua IPT.

Ini akan membekalkan pelajar dengan pengetahuan yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak sepanjang pengajian mereka dan selepas tamat pengajian.

Selain itu, IPT boleh bekerjasama dengan bank dan institusi kewangan untuk menawarkan bengkel atau seminar mengenai kewangan peribadi.

Pelajar juga perlu didedahkan kepada pentingnya menabung dan merancang kewangan dari awal agar mereka dapat membina kestabilan kewangan selepas tamat pengajian.

Capai kestabilan kewangan

Kesimpulannya, kewangan peribadi dan pengurusan hutang merupakan isu yang kritikal dalam kalangan pelajar IPT di Malaysia.

Pelajar yang tidak menguruskan kewangan mereka dengan baik berisiko menghadapi masalah kewangan yang boleh memberi kesan negatif terhadap pengajian dan kehidupan mereka selepas tamat pengajian.

Oleh itu, penting bagi pelajar untuk memahami asas-asas kewangan peribadi dan mengamalkan prinsip-prinsip pengurusan hutang yang bijak.

Pendidikan kewangan yang lebih intensif di peringkat IPT perlu diberikan agar pelajar lebih bersedia untuk menghadapi cabaran kewangan di masa hadapan.

Dengan pengurusan kewangan yang cekap, pelajar IPT dapat mencapai kestabilan kewangan dan memastikan masa depan yang lebih cerah tanpa beban hutang yang membebankan.

Maklumat Penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Wan Mohamad Hairul Haikal Wan Zamri

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial & Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373), UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my