Seramai 30 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor telah mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan misi kesukarelawanan yang dinamakan program ASEAN's Sustainable Community Development (ASCD) 2025 di Indonesia baru-baru ini.
Program pembangunan komuniti mampan yang berlangsung selama seminggu itu dianjurkan oleh Kelab Penyayang UiTM Shah Alam dengan kerjasama Kolej Kediaman Delima, Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) dan Fakulti Pendidikan UiTM.
ASCD 2025 membawa impak signifikan kepada komuniti luar bandar di sekitar Jakarta dan Bandung, hasil kerjasama strategik dengan tiga institusi pendidikan tinggi Indonesia iaitu Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dan Sekolah Tinggi Keguruan Ilmu Pendidikan (STKIP) Pasundan.
Menurut Timbalan Pengarah ASCD 2025, Muhammad Aziman Syaqiran Mat Zain, program itu bukan sekadar projek mobiliti biasa sebaliknya ia adalah platform strategik untuk memupuk perpaduan ASEAN bermula dari akar umbi.
"ASCD 2025 telah melaksanakan lima inisiatif utama yang menyasar pelbagai lapisan masyarakat.
"Misalnya ‘Dialog Pemimpin Muda: Menyemai Aspirasi Serumpun’ di UNJ membuka ruang perkongsian pengalaman dan strategi menangani cabaran kontemporari dalam konteks ASEAN.
"Kami mendapati banyak persamaan dalam cabaran yang dihadapi komuniti kedua-dua negara dari aspek kepimpinan, ekonomi, kebudayaan dan perpaduan. Ini mengesahkan bahawa kerjasama serantau adalah suatu keperluan," ujarnya.
Sementara itu, di STKIP Pasundan, mahasiswa UiTM telah melancarkan 'Jejak Sinergi Ilmu: Simfoni Pendidikan Sejagat' yang menggabungkan kaedah pedagogi Malaysia dengan pendekatan pendidikan Indonesia.
Beberapa guru tempatan melaporkan peningkatan kadar kehadiran pelajar hasil perkongsian pendekatan pembelajaran terbaik dari kedua-dua negara melalui mata pelajaran Olahraga atau Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Karnival Inovatif Desa di Kampung Ciruendue pula, menarik penyertaan lebih 200 murid dan masyarakat sekitar untuk meneroka konsep asas Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui lima stesen interaktif.
Kejayaan inisiatif ini terserlah apabila pengetua sekolah dan penduduk kampung bersetuju menganjurkan Pertandingan Roket Air yang disertai murid Sekolah Dasar Negeri Ciruendeu, STKIP dan UiTM bagi memastikan kesinambungan program.
Pelestarian warisan dan pemerkasaan ekonomi
Satu lagi inisiatif yang menarik perhatian media tempatan ialah 'Sentuhan Kuih Keria: Warisan Manis Nusantara' iaitu bengkel di pinggir Bandung yang menggabungkan pemeliharaan warisan kulinari dengan pemerkasaan ekonomi wanita.
Menurut Ketua Kluster Kesenian & Warisan, Amir Hamzah, banyak persamaan dalam tradisi kulinari Malaysia dan Indonesia, tetapi banyak resipi tradisional berisiko pupus.
"Kami bukan sahaja mendokumentasikan resipi, tetapi turut mengajar teknik pemasaran digital kepada wanita desa,” ujar beliau.
Seterusnya, sebuah koperasi kecil yang telah ditubuhkan sebelum ini oleh komuniti tempatan berjaya menjalinkan kerjasama bersama UiTM dan STKIP.
Koperasi kecil itu berperanan memasarkan produk kuih tradisional berasaskan ubi kayu (makanan ruji kampung tersebut) ke kawasan pelancongan sekitar Bandung.
Akan datang, UiTM dan ASCD akan meneruskan program tersebut dengan memberi pendedahan tentang reka bentuk pembungkusan dan pemasaran dalam talian.
Impak berterusan dan perancangan masa depan
Kunci kejayaan ASCD 2025 terletak pada strategi kelestarian yang diterapkan di mana ia turut mendapat sokongan dan kerjasama erat daripada Pusat Pembangunan Pelajar UiTM dan pelbagai pihak korporat serta penaja yang sudi menyumbang demi menjayakan misi kesukarelawanan ini.
Antara rakan penaja utama yang terlibat ialah KAS Engineering, Che Yam & Family Sdn Bhd, Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, Segi Maju Sdn Bhd, iCORE Engineers Sdn Bhd, Koperasi Siswa UiTM Selangor Berhad, dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Organisasi-organisasi ini telah mewujudkan dana untuk menyokong program dan projek susulan.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahib berkata, perkongsian strategik yang dibina melalui program ini akan menjadi landasan untuk kerjasama akademik dan pembangunan komuniti yang lebih mendalam di masa hadapan.
Terdahulu, ASCD 2025 yang bertemakan One Vision, One ASEAN: Shaping A Shared Future for Generations telah dirasmikan Timbalan Ketua Perwakilan, Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia, Farzamie Sarkawie.
Penganjuran ASCD 2025 adalah selaras dengan beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi), SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan) dan SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat).
Dalam perkembangan lain, Kelab Penyayang UiTM Shah Alam kini merancang untuk mengembangkan inisiatif itu ke negara ASEAN lain pada tahun depan.
Menurut Muhammad Aziman Syaqiran, perjalanan pembangunan komuniti (ASCD 2025) mungkin bermula dengan langkah kecil, tetapi dengan usaha bersama, impaknya akan terus bergema merentasi sempadan negara untuk generasi akan datang.
Maklumat Penulis:
1) Pensyarah Kanan merangkap Penasihat Kelab Penyayang UiTM, Sumardianshah Silah
2) Pengarah Program ASCD 2025 To Jakarta & Bandung, Hanafi Hanizan
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my