Minyak masak terpakai jana pendapatan sekolah

Iklan
Pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Fasa 1 dan Fasa 2 mendapat sambutan menggalakkan daripada warga SKDUA. Gambar kecil: Mohamad Azizi Zamri

SKDUA Kota Tinggi berjaya kumpul dana hampir RM3,000, bakal anjurkan Fasa 3 tidak lama lagi

Demi menceriakan perpustakaan sekolah, seorang guru gigih menganjurkan Pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Fasa 1 bagi mencari dana untuk pusat sumber tersebut.

Guru Perpustakaan dan Media Sekolah Kebangsaan Datuk Usman Awang (SKDUA), Kota Tinggi, Johor, Mohamad Azizi Zamri Ilias, 35, berkata, pertandingan yang melibatkan seluruh warga sekolah berjaya mengumpul dana lebih RM1,500 hasil jualan minyak masak terpakai.

Iklan
Iklan

Katanya, wang yang diperoleh telah digunakan untuk melengkapkan fasiliti perpustakaan bertemakan lapangan terbang.

"Perpustakaan SKDUA baru sahaja menerima Anugerah Sudut Pembelajaran Terbaik Daerah Kota Tinggi, Johor.

Iklan

"Jadi, dengan dana daripada jualan minyak masak terpakai, saya yakin perpustakaan ini akan lebih ceria dan terus berkembang," katanya kepada Sinar Bestari.

Memandangkan pertandingan itu mendapat sambutan hangat daripada semua pihak, SKDUA sekali lagi menganjurkan program yang sama, dikenali sebagai Pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Kitar Semula Fasa 2.

Iklan

Bagaimanapun, objektif pertandingan kali ini tidak lagi memfokuskan kepada dana perpustakaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada keceriaan sekolah.

"SKDUA telah merangkul Anugerah Sekolah Showcase Kelestarian Peringkat Negeri Johor.

"Kami berbincang dan capai kata sepakat untuk membangunkan sudut kelestarian, iaitu sudut kitar semula. Dengan dana hasil jualan minyak masak terpakai, impian ini mungkin dapat direalisasikan,” katanya yang juga penyelaras projek dan telah berkhidmat sebagai pendidik selama 11 tahun.

Setelah sebulan pertandingan Fasa 2 berlangsung, Mohamad Azizi Zamri berkata, pihak sekolah berjaya mengutip sumbangan sekitar RM3,000, satu jumlah lebih besar berbanding sebelum ini.

"Mungkin kesedaran mengumpul minyak masak terpakai semakin meluas dalam kalangan guru, ibu bapa dan murid sendiri.

"Tambahan pula, promosi berterusan yang dilakukan oleh pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta agensi berkaitan turut membantu meningkatkan jumlah dana,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai pertandingan, Mohamad Azizi Zamri berkata, ia dijalankan mengikut kelas masing-masing.

"Guru kelas akan mengumpul minyak masak terpakai dan meletakkannya di tempat yang disediakan.

"Kelas yang berjaya mengumpul minyak paling banyak akan diberikan hadiah berupa piala, sijil penghargaan dan sejumlah wang tunai untuk sebarang aktiviti atau keceriaan kelas,” ujar suami kepada Norazimah Allawaddin.

Jelas Mohamad Azizi Zamri, program yang diadakan secara berfasa itu bukan sekadar pertandingan menjana dana sekolah.

Sebaliknya, ia berupaya mendidik murid tentang kelestarian alam sekitar, menggalakkan mereka mempraktikkan konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dalam kehidupan seharian, membangunkan kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan serta menyokong ekonomi kitar semula.

Melihat sambutan luar biasa terhadap Fasa 1 dan Fasa 2, Mohamad Azizi Zamri memberi bayangan bahawa Fasa 3 mungkin akan diadakan tidak lama lagi.

Menurut beliau, penyertaan aktif daripada murid, guru, ibu bapa serta komuniti setempat membuktikan bahawa program ini bukan sahaja relevan, malah memberi impak positif dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan kitar semula dan kelestarian alam sekitar.

Beliau turut menyatakan bahawa Fasa 3 yang menyasarkan SKDUA sebagai pusat pengumpulan minyak masak terpakai peringkat daerah akan membawa nafas baharu dengan penglibatan lebih luas, termasuk kerjasama dengan sekolah lain, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

Tujuannya adalah untuk memperluas kesedaran serta memupuk budaya hijau secara berterusan, seiring matlamat pendidikan lestari.