‘Jangan normalisasikan budaya buli sama ada fizikal atau mental’ - Asyraf Wajdi

Iklan
Asyraf Wajdi

Tindakan membuli di sekolah bukan sekadar isu disiplin, tetapi satu krisis senyap yang terus menghantui institusi pendidikan di negara ini.

Setiap kes yang tular di media sosial mencerminkan betapa seriusnya kesan buli terhadap jiwa pelajar.

Iklan
Iklan

Walaupun pelbagai langkah telah digerakkan, insiden buli masih tersiar di media, tidak kurang juga yang kekal menjadi rahsia di balik dinding kelas mahupun asrama.

Lebih menyedihkan, ada mangsa yang memilih untuk mendiamkan diri kerana takut, malu atau hilang percaya kepada sistem.

Iklan

Bagaimanapun, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli di Institusi Pendidikan Mara (IPMA) termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Kita tak boleh mewajarkan, menormalisasikan ataupun membenarkan sebarang perlakuan buli dalam apa juga bentuk fizikal mahupun mental.

Iklan

"Ia akan memberi kesan jangka panjang dan pendek kepada pembelajaran dan ia sudah tentu menidakkan matlamat besar mara untuk melahirkan generasi yang holistik sifatnya bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga dari segi sahsiah, keperibadian, akal budi dan juga adab,” katanya.

Menurut Asyraf, selama dua tahun menerajui Mara, ruangan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan X dijadikan sebagai medium rasmi untuk mendapatkan maklum balas bagi menambah baik potensi institusi yang menjadi payung kepada agenda Melayu-Bumiputera.

"Apabila saya melaksanakan #Terjah ke IPMA semuanya berdasarkan aduan dan maklum balas ibu bapa, pelajar dan pendidik.

"Alhamdulillah banyak perkara seperti isu kartel dan kualiti dewan selera, makanan, tandas, asrama, bilik guru dan fasiliti lain di IPMA berjaya diselesaikan.

"Jadi, jika isu dewan selera, tandas dan kelas pun pelajar boleh adu terus pada saya melalui media sosial, harap isu buli juga tolonglah laporkan. Hentikan budaya buli,” katanya lagi.

Peringatan itu dilakukan susulan kes tujuh pelajar MRSM di Pulau Pinang yang didapati terlibat dalam kes buli baru-baru.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman kejadian buli dipercayai berlaku di maktab berkenaan yang memaparkan seorang pelajar lelaki dalam keadaan tertiarap di atas katil, dipercayai menjadi mangsa sekumpulan pelajar lain yang bertindak kasar dengan menghempap kepala serta badannya.

Dalam video sama, mangsa turut disebat menggunakan tali pinggang pada punggung tanpa belas kasihan.

Kes itu bagaimanapun disiasat pihak polis dan kesemua pelajar terlibat sudah diambil tindakan.