Dalam suasana Syawal yang masih diselubungi kemeriahan, masyarakat dikejutkan dengan pemergian tokoh pendidik yang amat dihormati iaitu Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemilang, Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, Cikgu Anuar Che Mat.
Pemergian beliau pada awal pagi Ahad sekitar jam 3.15 pagi merupakan satu kehilangan besar buat warga sekolah dan komuniti yang pernah menerima sentuhan ilmunya.
Ini kerana, Allahyarham dikenali sebagai insan yang berdedikasi, penuh karisma dan sentiasa menanamkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar dan guru.
Beliau juga bukan sekadar pengetua, tetapi seorang pendidik yang menjadi inspirasi kepada ramai.
Keperibadiannya yang tenang, penyayang serta berwibawa menjadikan beliau disegani oleh semua lapisan masyarakat sekolah.
"Arwah seorang yang sangat baik, tutur katanya tersusun rapi dan penuh santun."
"Al-Fatihah buat Cikgu Anuar. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin Ya Rabbal Alamin."
Demikian luahan penuh hiba warga maya di media sosial.
Terdahulu, Cikgu Anuar telah menabur bakti dan menyumbang khidmat cemerlangnya di beberapa buah sekolah sepanjang perjalanan karier pendidikannya.
Bermula sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Petaling, Petaling Jaya, Selangor, arwah turut mengajar di SMK Tun Hussein Onn, Kluang Johor; SMK Permatang Tok Jaya, SMK Kepala Batas dan SMK Tasek Gelugor, masing-masing terletak di Pulau Pinang.
Dalam setiap penempatan, Allahyarham meninggalkan legasi kepimpinan yang mengangkat martabat pendidikan dan membina insan berakhlak tinggi.