Sekilas pandang, lukisan pelajar disleksia kelihatan seperti hasil karya pelukis profesional.
Garisan yang kemas, bayangan yang tepat dan ekspresi yang hidup seolah-olah membawa yang melihatnya masuk ke dalam lukisan ciptaan mereka.
Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Noor Azizah Ngah berkata, pensel dan kertas bukan sekadar alat seni yang digunakan oleh penghidap disleksia, Nur Marissa Hana Anuar, namun ia ‘suara’ untuk menyampaikan rasa dan pemikiran yang tidak boleh diluahkan.
"Dalam kelas, Nur Marissa merupakan pelajar biasa seperti rakan-rakan yang lain, cuma kelainannya ialah jika telah siap tugasan yang diberi oleh guru, dia akan melukis kartun.
"Gambar yang dilukis itu agak cantik, nampak real dan menarik. Selain disleksia, Nur Marissa Hana juga dalam kategori Gangguan Hiperaktif dan Kurang Tumpuan (ADHD). Jadi, dia akan buat sesuatu yang disukainya terutama melukis sebaik sahaja terlintas di fikiran walaupun tugasan belum selesai,” katanya.