Esok, peluklah anak walau apa jua keputusan mereka

Iklan
Pelukan ibu bapa menjadi kekuatan untuk anak-anak sekali gus pembakar semangat yang mampu menyelamatkan hati yang kecewa dan menjadi memori indah untuk mereka simpan sepanjang hayat. Gambar hiasan

Esok, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan. Hari yang mungkin mendebarkan bagi ramai, terutama buat anak-anak yang telah bertahun-tahun menanam harapan.

Tapi ingat, esok bukan hari untuk dinilai, esok adalah hari untuk dirai.

Iklan
Iklan

Untuk anak-anak yang menunggu penuh debar. Apa jua keputusan yang tertera di slip itu nanti, ia bukan penentu siapa kamu. Ia bukan kayu ukur nilai hidup kamu.

SPM bukan pengakhiran, ia cuma satu persimpangan kecil dalam perjalanan besar bernama kehidupan.

Iklan

Kamu telah melalui zaman persekolahan dengan pelbagai cabaran, belajar dalam pandemik, kelas online yang tak stabil, emosi yang turun naik dan beban yang kadang tak tertanggung.

Tapi kamu tetap bertahan. Kamu tetap melangkah ke garisan penamat. Dan untuk itu sahaja, kamu sudah pun menang.

Iklan

Untuk ibu dan ayah.

Kamu menyaksikan setiap air mata dan peluh anakmu.

Kamu pendengar setia saat mereka hampir mengalah dan kamu jugalah yang mengangkat semula semangat mereka ketika mereka jatuh. Terima kasih kerana menjadi rumah paling selamat untuk anak-anak kembali.

Esok, peluklah anakmu walau apa jua keputusan mereka.

Kejayaan sebenar bukan pada berapa A, tetapi pada usaha yang telah mereka berikan dan pada kasih sayang yang kamu curahkan.

Untuk para guru.

Jasa kalian takkan pernah mampu dibalas. Di sebalik setiap kejayaan, ada pengorbanan yang mungkin tak terlihat. Terima kasih kerana tetap hadir, tetap mendidik, tetap menyemai benih ilmu walau kadang tidak dihargai sepenuhnya.

Dan untuk masyarakat.

Berhentilah bertanya, 'Berapa A anak kau?'

Tanyalah, 'Kamu okay?'

Tanyalah, 'Apa impian kamu selepas ini?'

Kerana setiap anak bukan perlumbaan angka, tetapi sebuah dunia yang menunggu untuk diterokai dengan cara mereka sendiri.

Anak-anak kita bukan sekadar calon SPM, mereka adalah pejuang. Pejuang yang telah belajar bertahan, belajar bangkit semula dan kini bersedia untuk langkah yang lebih besar dalam hidup.

Esok, apa pun keputusan yang keluar, ingat ini.

"Kamu cukup. Kamu berharga. Kamu boleh."

Terus melangkah. Jangan takut untuk jatuh, kerana yang penting, kamu tak pernah berhenti cuba. Dan dalam dunia yang sering menilai, jadilah satu suara yang memilih untuk memahami.

Kredit: Facebook Zura Betty