"Arwah dapat A- subjek Landskap dan Nurseri. Cikgu tak sempat jumpa awak untuk ucap tahniah," tulis Cikgu Muslim Ismail di Facebook peribadinya pada Khamis.
Menurut beliau, arwah yang dimaksudkan itu merupakan salah seorang pelajar yang baru sahaja meninggal dunia Isnin lalu, akibat jangkitan kuman selepas menjalani pembedahan apendiks.
Paling menyedihkan, dia tidak sempat mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan pada 24 April.
"Perginya seorang anak didik yang tidak banyak dosa. Perginya seorang jiwa yang lembut dan baik.
"Nanti tolong saya kalau saya di sebelah sana...pinta pada Tuhan supaya saya diampunkan," titip beliau dalam hantaran itu.
Berdasarkan perkongsian Cikgu Muslim, Sinar Bestari mendapati beliau cukup menyayangi arwah kerana sikap dan keperibadian yang ada pada dirinya.
"Murid ini waktu Tingkatan Empat hampir dibuang kerana sangat kerap ponteng, atas usaha Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan kaunselor, dia datang semula ke sekolah.
"Seorang murid baik dan lurus, tiada masalah disiplin, cuma kerap tidak hadir ke sekolah. Mungkin dunia persekolahan tidak mesra padanya. Bidang akademik yang penuh persaingan dan perbandingan mungkin menyebabkan dia menjauh disebabkan kelemahan untuk memahami dan mengingat.
"Tapi dia suka menyanyi. Aku masukkan dia dalam kumpulan puisi dan lagu sekolah. Kami tak menang, tapi dia mula suka ke sekolah, mungkin sebab rasa dihargai. Mungkin itu juga menjadi antara memori terbaiknya di alam persekolahan," tulis Cikgu Muslim.
Beritahunya lagi, dalam mata pelajaran Landskap dan Nurseri yang diajar, pelajar itu tidak pernah lulus dalam peperiksaan tetapi dia rajin dan ringan tulang menyiapkan tugasan.
"Walaupun tidak sempurna, tetapi dia berusaha. Aku tak marah pun sebab aku tahu kelemahannya dan kadang-kala bila dia ditinggalkan bas selepas tuisyen petang, waktu aku hantar pulang, sempat juga aku titip kata-kata," catatnya lagi.