Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dinanti-nantikan akhirnya diumumkan pada 24 April 2025.
Seperti biasa, gred utama bagi setiap mata pelajaran menjadi tumpuan masyarakat bermula dengan A+ hinggalah ke G.
Namun, jika diperhatikan betul-betul, terdapat satu bahagian tambahan dalam slip keputusan itu di mana terpapar gred Tahap Keseluruhan CEFR Bahasa Inggeris di bahagian bawah sekali.
Menerusi gred tersebut, kelihatan kod-kod seperti C2, B1, A2 dan sebagainya tercatat dalam slip SPM.
Ramai yang tertanya-tanya, apakah maksud kod-kod ini? Adakah ia turut memberi kesan kepada keputusan keseluruhan?
Mengapa ia hanya muncul pada subjek Bahasa Inggeris?
Sebenarnya, kod-kod ini merujuk kepada sistem penggredan CEFR iaitu satu penanda aras tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Menerusi artikel ini, Sinar Bestari akan bantu anda faham lebih jelas tentang maksud sebenar CEFR yang tertera dalam slip SPM masing-masing.
Jom semak maksudnya seperti dipetik menerusi perkongsian Mied Majid di Facebook pada Khamis.
*****
Dalam sijil SPM, ada tertulis gred Tahap Keseluruhan CEFR Bahasa Inggeris.
Ada yang keliru dan ada juga yang bertanya gred tu macam mana sebab anak cuma dapat C dalam gred CEFR, tapi A dalam gred SPM.
CEFR ni ala-ala macam satu sistem grading standard International (standard penggredan antarabangsa) untuk ukur tahap penguasaan Bahasa Inggeris.
Grednya TERBALIK dengan gred kita yang biasa.
C2: Expert (Fasih dan Mahir) - Paling tinggi
C1: Advanced (Fasih)
B2: Upper Intermediate (Agak Fasih)
B1: Intermediate (Boleh berkomunikasi)
A2: Elementary (Boleh berkomunikasi tapi terhad)
A1: Basic/Beginners (Memerlukan bantuan untuk berkomunikasi) - Paling rendah
Buku teks Bahasa Inggeris yang sekarang ini, semua murid belajar Bahasa Inggeris berpaksikan CEFR. (Last batch Tahun 6, 2022 sahaja bukan batch CEFR).
Buku teks dan buku rujukan yang digunakan sekarang juga terbitan luar dan semuanya menggunakan standard British English.
Setiap buku teks mengikut tahun ada Tahap CEFR yang dipelajari.
Tahun 1: Ke arah A1
Tahun 2: A1 low
Tahun 3: A1 mid
Tahun 4: A1 high
Tahun 5: A2 low
Tahun 6: A2 high
Tingkatan 1: Ulang kaji A2
Tingkatan 2: A2 high
Tingkatan 3: B1 low
Tingkatan 4: B1 mid
Tingkatan 5: B1 high
Jadi, ia lebih kurang macam ini. Kalau SPM dapat gred CEFR Bahasa Inggeris A2, maksudnya tahap Bahasa Inggeris pelajar itu lebih kurang Tahap 2 Sekolah Rendah atau Tingkatan Satu/Tingkatan Dua.
Jadi, penting juga untuk belajar Bahasa Inggeris dengan konsisten sejak sekolah rendah lagi sebab kesinambungannya akan dibawa sehingga ke SPM.
Sumber: Facebook Mied Majid