Biarpun muntah lebih 20 kali ketika SPM, Aimimuqri Harraz tetap raih keputusan cemerlang!

Iklan
Aimimuqri Harraz bersama ayah dan ibunya sambil mempamerkan keputusan SPM yang diperoleh.

Keazaman luar biasa seorang pelajar menduduki peperiksaan dalam keadaan lemah akibat cirit-birit dan muntah lebih 20 kali kerana keracunan makanan, membuahkan hasil apabila meraih keputusan 4A+, 2A, 2A- dan 1B pada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Aimimuqri Harraz Mohd Sufian,18, juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Maher, Kelantan dimasukkan ke hospital selama lima hari kerana memakan roti canai yang dibeli untuk sarapan.

Iklan
Iklan

Hal tersebut menyebabkan dia terpaksa mengambil kertas bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam di wad pada hari kedua selepas disahkan keracunan dan dehidrasi.

"Keadaan saya sangat lemah dan sakit tetapi mohon keluar dari wad untuk ambil peperiksaan di sekolah. Saya nak rasa semangat menjalani peperiksaan di dewan bersama kawan-kawan.

Iklan

"Doktor bagaimanapun tidak membenarkan saya keluar hospital dan kuatkan semangat menjawab empat subjek dalam keadaan perut memulas, pening dan mual di dalam wad,” katanya ketika ditemui mengambil keputusan SPM di sekolah berkenaan pada Khamis.

Turut hadir, bapanya Mohd Sufian Abdullah, 54, dan Wan Faziawati Wan Muhamad, 54.

Iklan

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia menjadikan kejayaan abang dan kakaknya yang sebelum ini melanjutkan pengajian di Jepun sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha.

"Cita-cita saya nak jadi juruterbang, jadi saya memang letakkan sasaran keputusan terbaik, walaupun akhirnya Bahasa Inggeris saya hanya dapat B.”

"Saya amalkan solat hajat, baca al-Quran setiap hari dan selalu ulang doa Allahumma yassir wala tu’assir," katanya.

Aimimuqri Harraz memperoleh A+ bagi subjek Kimia, Fizik, Matematik Tambahan dan Sejarah, manakala A bagi Matematik, Bahasa Melayu dan A- bagi Pendidikan Islam serta Biologi.

Dia kini merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang penerbangan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan harapan mendapat tajaan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Saya juga guna telefon untuk ulang kaji dan belajar empat jam sehari," katanya.