Sebuah blok asrama pelajar lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak di Jalan Ayer Jerneh, Kuala Lumpur terbakar pada Isnin sekitar jam 8.30 malam, namun kesemua 91 pelajar yang menghuni blok terbabit dilaporkan selamat.
Komander Operasi Bomba, TPgB II Japari Tajuddin, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.43 malam sebelum mengerahkan 40 anggota bersama lapan jentera ke lokasi.
Kebakaran melibatkan tingkat satu blok asrama lelaki sekolah ini dan berjaya dikawal pada jam 9.40 malam. Kebakaran menyebabkan kemusnahan kira-kira 80 peratus struktur bangunan terbabit.
"Ketika kejadian, semua pelajar berada di surau sekolah menunggu waktu Isyak dan tiada kecederaan dilaporkan. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang saksi kejadian, Muzelysham Mustafa, 51, berkata, anaknya terdengar bunyi penggera kebakaran sebelum segera memaklumkan kejadian itu.
Muzelysham yang mengenali selok-belok kawasan sekolah kerana isterinya pernah bertugas di situ, bergegas ke asrama untuk memeriksa keadaan.
"Saya dapati tiada pelajar dalam bangunan terbabit dan bersama anak saya cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun api marak terlalu cepat,” katanya.
Seorang lagi saksi, Muhamad Adha Mikail, 17, berkata, dia terdengar bunyi kaca pecah ketika mengambil wuduk di surau bersebelahan sebelum melihat api marak di bangunan asrama yang dihuni.
"Saya terus memaklumkan kepada rakan-rakan dan warden asrama yang kemudian menekan loceng kecemasan. Kami semua segera berkumpul di tapak perhimpunan sekolah," katanya.
Kejadian itu turut tular di laman media sosial menerusi beberapa rakaman video yang menunjukkan kebakaran berlaku di kawasan asrama.