Tular di media sosial aksi seorang ibu di Kabupaten Lebak, Banten, Indonesia yang sanggup berjalan kaki sambil mengangkat satu set meja dan kerusi ke sekolah selepas anaknya didakwa merosakkan perabot berkenaan.
Kejadian berlaku di Sekolah Dasar Negeri (SDN) 2 Pasir Tangkil, Kecamatan Warunggunung, pada Isnin, 28 April 2025.
Menurut Arta, beliau menerima teguran daripada pihak sekolah menerusi kumpulan WhatsApp ibu bapa murid, yang meminta ibu bapa menggantikan perabot sekolah yang rosak.
"Saya tanya anak saya, katanya meja itu memang sudah rosak dari awal tapi kerana saya diminta untuk menggantikan, saya tetap bertanggungjawab," kata Arta dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menarik perhatian ramai, Arta turut menulis satu nota di atas meja tersebut menggunakan pen marker:"Meja ini dibeli oleh ibu bapa kerana diminta menggantikan.”
Isu tersebut akhirnya mendapat perhatian pihak berkuasa dan perbincangan diadakan melibatkan Dinas Pendidikan dan Bupati Lebak, Hasbi Asyidiki Jayabaya.
Dalam pertemuan itu, Bupati Hasbi menegaskan bahawa kemudahan sekolah adalah tanggungjawab pihak institusi pendidikan dan tidak sepatutnya dibebankan ke atas ibu bapa.
Beliau turut menggantikan kos pembelian meja dan kerusi kepada Arta, dan perabot tersebut dikembalikan kepada wanita itu.
Sementara itu, Guru Besar SDN 2 Pasir Tangkil, Fifi Siti Rofikoh, menjelaskan bahawa permintaan menggantikan perabot bertujuan sebagai satu bentuk pendidikan disiplin kepada murid, namun mengakui pendekatan melalui mesej WhatsApp mungkin tidak sesuai dan boleh menimbulkan salah faham. - Agensi