Pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Nurzhafarina Othman mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila diumumkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Whitley 2025 yang berlangsung di London, United Kingdom (UK) baru-baru ini.
Pengiktirafan berprestij ini diberikan oleh Whitley Fund for Nature (WFN), sebuah badan amal pemuliharaan alam sekitar yang berpangkalan di UK, sebagai penghargaan terhadap usaha cemerlang beliau dalam melindungi populasi gajah Borneo yang semakin diancam kepupusan, khususnya di kawasan timur Sabah.
Sebagai pakar pemuliharaan gajah Malaysia dan pengasas kepada organisasi Seratu Aatai, Nurzhafarina menerima dana berjumlah £50,000 (sekitar RM287,000) bagi menyokong inisiatif pemuliharaannya.
Paling membanggakan, anugerah tersebut disampaikan oleh penaung WFN sendiri, Yang Teramat Mulia Puteri Anne dalam satu majlis penuh berprestij di Royal Geographical Society, London.
Menurut kenyataan rasmi WFN, projek yang dikemukakan oleh Nurzhafarina memfokuskan kepada usaha merapatkan jurang antara pemuliharaan dan industri perladangan, terutamanya melibatkan komuniti sawit di kawasan Lower Kinabatangan, Sabah.
Kawasan ini merupakan antara habitat terakhir bagi kira-kira 300 ekor gajah Borneo yang masih wujud.
"Beliau bukan sahaja memimpin inisiatif perlindungan gajah, tetapi juga berjaya memperkukuh jalinan kerjasama antara pemilik ladang dan komuniti tempatan. Pendekatan ini amat penting untuk mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, kejayaan Nurzhafarina secara tidak langsung membuktikan bahawa Malaysia tidak ketandusan tokoh muda yang komited dalam pemeliharaan alam sekitar.
Beliau bukan sahaja menjadi inspirasi kepada golongan akademik dan pelajar di UMS, malah turut mengangkat imej negara sebagai pemain aktif dalam isu pemuliharaan global.
INFO
Senarai penerima Anugerah Whitley 2025
1) Dr Nurzhafarina Othman dari Malaysia yang melindungi populasi gajah Borneo khususnya di kawasan timur Sabah.
2) Dr Yara Barros (Brazil), memelihara populasi jaguar melalui pendidikan komuniti di Taman Negara Iguacu.
3) Dr Andres Link (Colombia), melindungi monyet labah-labah dan habitat mereka.
4) Dr Federico Kacoliris (Argentina), memperjuangkan perlindungan katak Sungai El Rincon.
5) Reshu Bashyal (Nepal), menangani penyeludupan orkid dan pokok yew.
6) Rahayu Oktaviani (Indonesia) memelihara habitat siamang Jawa di Pulau Jawa.