Sudah 7 tahun berbakti tapi masih bergelar guru ganti! 'KPM, SPP, MRSM tolonglah pandang segala kerja buat & pengorbanan Cikgu Ridzuan'

Iklan
Semoga akan ada pelangi indah untuk Cikgu Ridzuan untuk menerima pengiktirafan sewajarnya sebagai guru tetap, sesuai dengan segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini.

Bagi kebanyakan individu, impian untuk bergelar guru tetap adalah satu perjalanan yang penuh harapan demi kelangsungan kerjaya, manfaat jangka panjang dan pengiktirafan terhadap sumbangan dalam dunia pendidikan.

Namun, tidak semua diberikan laluan yang mudah.

Iklan
Iklan

Kisah Cikgu Mohamad Ridzuan Mohamed Ali Jinnah adalah bukti nyata bahawa kesungguhan dan dedikasi tidak semestinya segera dibalas dengan pengiktirafan rasmi.

Meskipun telah tujuh tahun menggalas tanggungjawab sebagai guru ganti, beliau masih belum diserap sebagai guru tetap.

Iklan

Kecekalan dan keikhlasannya dalam mendidik anak bangsa cukup menyentuh hati ramai termasuk rakan sekerja, Nabilah Nizar, yang menyifatkan beliau sebagai seorang guru yang bukan sahaja berwibawa, malah sempurna dalam menjalankan tugas.

Menurut Nabilah, Cikgu Ridzuan merupakan seorang guru yang tidak pernah lelah dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa.

Iklan

"Meskipun statusnya hanyalah sebagai guru ganti, semangat dan komitmennya setaraf malah ada kalanya melebihi guru-guru tetap lain di sekolah,” tulisnya seperti dipetik menerusi satu hantaran di grup komuniti di Facebook pada Khamis.

Untuk perkongsian penuh, Sinar Bestari kongsikan catatan Nabilah agar para pembaca dapat menilai sendiri ketulusan dan keikhlasan seorang insan bergelar guru, meskipun tanpa status tetap.

Semoga akan ada pelangi indah untuk Cikgu Ridzuan untuk menerima pengiktirafan sewajarnya sebagai guru tetap, sesuai dengan segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini.

*****

Cikgu Mohamad Ridzuan Mohamed Ali Jinnah. Orang yang sangat komited dan berdedikasi dalam setiap tugasan yang diberikan.

Beliau sudah tujuh tahun menjadi guru ganti (sekarang dipanggil sebagai MySTEP).

Saya posting pada tahun 2020, beliau sudah ada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Itam, Pulau Pinang sebagai guru ganti. Banyak sekolah sekitar Timur Laut telah mendapat khidmat beliau. Dari satu sekolah ke satu sekolah. Dari satu temu duga ke satu temu duga, namun rezeki untuk memegang jawatan guru tetap masih belum menyebelahi beliau.

Bukan tidak pernah mencuba, tetapi setiap cubaan beliau, hanyalah menerima jawapan yang mendukacitakan.

Pelik bin ajaib mengapa orang sebegini tidak diterima oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP)? Apakah kriteria khusus yang SPP mahukan? Adakah sebab beliau tidak mempunyai ikhtisas? Tapi bukankan program Interim dan Contract of Service (COS) memberikan peluang kepada orang sebegini? Cubalah turun sekolah, lihat sendiri kerja beliau.

Mengajar? Segala subjek beliau tapau bersih. Murid-murid sangat sukakan beliau. Katanya Cikgu Ridzuan pandai mengajar. Mereka mudah faham.

Semasa saya menjadi Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), saya mendapat maklum balas positif daripada waris.

Mereka mengatakan anak-anak suka jika Cikgu Ridzuan yang mengajar Matematik sebab mudah faham dan mereka bersemangat nak ke sekolah.

Bukan itu sahaja, beliau juga amat aktif membantu sekolah mendapatkan sumbangan dana daripada orang-orang besar di sekitar Air Itam termasuk daripada Yang Berhormat (YB).

Sukan? Tak payah cakap. Semua acara beliau sapu bersih. Guru tetap pun tidak komited seperti beliau. Siapa sahaja yang nak balik lambat kan semata-mata nak tunggu murid menjalani latihan sukan?

Walaupun kontrak beliau telah tamat, sekiranya acara sukan masih berlangsung, beliau akan datang ke sekolah setiap hari sehingga ke petang demi melatih murid-murid kami dengan penuh dedikasi TANPA SEBARANG BAYARAN.

Telah ramai atlet sekolah yang dilahirkan oleh beliau sehingga ada murid yang berjaya ke peringkat kebangsaan.

Beliau bukan sahaja melatih pasukan bola baling, malah beliau turut melatih pasukan bola sepak sekolah, pasukan bola jaring, acara olahraga dan sukan lain.

Bukan sekadar untuk syarat menghantar wakil, tetapi setiap tahun sekolah kami (SMK Air Itam) akan membawa pulang pingat ke sekolah.

Pada tahun lepas, seorang murid kami telah terpilih mewakili pasukan Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan dalam acara bola baling.

Tahun ini, SMK Air Itam telah menjuarai pertandingan bola baling peringkat zon dan layak ke peringkat negeri (Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang - MSSPP).

Semua ini atas jasa beliau yang melatih murid setiap petang.

Pada masa ini sebenarnya kontrak beliau dah tamat ya. Saya amat yakin semua orang dalam pendidikan pasti tahu bahawa sekolah tiada dana dan tiada bayaran khas kepada beliau. Semua ni beliau buat atas rasa tanggungjawab dan sayang akan murid-murid.

Padanya, biarlah tiada pihak yang melihat usaha beliau, yang penting murid-muridnya mendapat kejayaan.

Berkat usaha dan penat lelah beliau melatih atlet sekolah kami, pasukan Air Itam sekali lagi membawa pulang pingat emas bagi kejohanan Bola Baling MSSPP (peringkat negeri).

Atas kerja keras beliau, tiga orang murid daripada sekolah kami telah tersenarai ke pemilihan bola baling untuk mewakili Pulau Pinang bagi pertandingan peringkat kebangsaan (Majlis Sukan Sekolah Malaysia).

YB Fadlina Sidek (Menteri Pendidikan), KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia), SPP, MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), pandanglah orang ini.

Orang macam ni sangat berjiwa besar. Inilah saya katakan JIWA PENDIDIK sebenar. Bukan lagi lilin membakar diri, tapi dah macam kayu api. Hitam metallic dah mukanya asbab berjemur setiap hari demi melihat kejayaan anak didik beliau.

Kerugian yang amat besar kepada pendidikan negara jika KPM melepaskan orang yang BERJIWA GURU ini. Hanya guru yang mempunyai JIWA mampu melahirkan INSAN.

*Oleh seorang rakan sekerja yang telah melihat sendiri kerja keras beliau sepanjang lima tahun berkhidmat dan bekerjasama dengan beliau.