Bagi merealisasikan permintaan para guru mahupun pelajar, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bersetuju mengadakan kem TV PSS supaya peserta latihan industri didedahkan dengan lebih mendalam dunia media.
Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Mohammad Nuri Hussin berkata, ia semestinya dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini supaya peserta merasai pengalaman sebenar bekerja dalam bidang berkenaan.
"Insya-ALLAH, kita adakan kem TV PSS yang dikendalikan oleh Sinar Bestari dan Sinar Harian untuk pelajar mendapat lebih banyak ilmu daripada orang-orang berpengalaman,” katanya.
Mohammad Nuri melahirkan rasa bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang menyertai program ini.
Katanya, penyertaan dalam program seperti ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mempelajari ilmu di luar bilik darjah, malah mengasah bakat dan kreativiti mereka dalam bidang media yang semakin relevan masa kini.
"Apabila menonton video-video yang mereka hasilkan, saya benar-benar kagum dengan kreativiti masing-masing.
"Saya percaya, jika mereka diberi lebih masa dan peluang, hasilnya akan jauh lebih hebat dan berkualiti tinggi,” katanya.