Pertandingan Bridge Master Peringkat Negeri Selangor 2025 telah berjaya menghimpunkan bakat muda dari seluruh negeri dalam satu platform yang menekankan aplikasi ilmu kejuruteraan, inovasi dan kerjasama berpasukan.
Bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tasik, Selangor, pertandingan selama dua hari itu berlangsung meriah dari 29 hingga 30 April lalu.
Anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat serta sokongan strategik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM SPACE), pertandingan ini menjadi medan kepada pelajar untuk meneroka secara praktikal bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Melalui pembinaan jambatan mini, para peserta diberi peluang mengaplikasikan ilmu asas kejuruteraan, selain mengasah kemahiran menyelesaikan masalah secara kolaboratif.
Reka bentuk yang dihasilkan bukan sahaja menonjolkan pemikiran kritis dan kreativiti, malah memperlihatkan tahap keyakinan dan semangat kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan pelajar sekolah menengah selari dengan matlamat memperkukuh pendidikan STEM di peringkat akar umbi.
Sebanyak 15 buah sekolah menengah dari seluruh negeri telah menyahut cabaran ini antaranya SMK Seksyen 16, SMK Kepong, SAM Bandar Baru Salak Tinggi, SMK Sungai Ramal dan SMK Cheras Jaya.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Pegawai Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid JPN Selangor, Noorzihan Samah. Hadir sama ialah Penolong Pegawai dari PPD Hulu Langat, Masitah Mustafa dan Pengetua SMK Taman Tasik, Zainun Muda.
Sebagai penghargaan, sijil turut disampaikan kepada barisan hakim profesional dari UTM Kuala Lumpur, pegawai teknikal STEM, ahli jawatankuasa pelaksana serta semua peserta yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang pertandingan.
Secara keseluruhannya, Pertandingan Bridge Master 2025 membuktikan kesungguhan Kementerian Pendidikan dalam melahirkan pelajar yang berdaya saing, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar dalam dunia STEM.