Seorang pelajar kolej maut manakala rakan perempuannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas di KM 223.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Ayer Keroh-Senawang, Seremban, Negeri Sembilan pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi itu, remaja lelaki berusia 19 tahun tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Beliau berkata, rakannya yang juga pembonceng berusia 15 tahun pula cedera parah di tangan serta kaki dan sedang mendapatkan rawatan di zon merah Hospital Rembau.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke sebuah kolej di sini. Sebaik sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas ke lorong kecemasan dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azmi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil membantu siasatan.