Lebih daripada sekadar sebuah persembahan pentas, Ritma Warisan: Putri Serindai dan Putri Selangking-Sumpahan Bulan Merah merupakan bukti nyata bahawa seni budaya masih mampu bernafas megah dalam kalangan generasi muda hari ini.
Bertempat di Dewan Biduanda, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau, lebih 800 penonton hadir menyaksikan dramatari penuh emosi dan estetika hasil sentuhan kreatif Kelab Rembau Arts Generational Delegates (Ragenda).
Di sebalik persembahan yang memukau, Ritma Warisan menampilkan pendekatan naratif baharu terhadap warisan cerita rakyat, membawa penonton mengembara ke dalam kisah dua puteri bersaudara Serindai dan Selangking yang menjadi pelindung kampung mereka. Namun, kemunculan bulan merah telah meruntuhkan ikatan suci antara mereka, mencetuskan konflik yang membawa kepada tragedi sekali gus membuka ruang kepada kemunculan anasir jahat yang mengancam kesejahteraan kampung.
Keunikan Ritma Warisan terletak pada keberanian produksinya untuk menggabungkan unsur tradisional dan kontemporari. Elemen tarian etnik Sarawak diadun dengan gerak tari moden, mencipta satu persembahan dramatari yang bukan sahaja mempesona, malah sarat dengan makna dan simbolik.
Penonton bukan sekadar disajikan dengan keindahan pergerakan, kostum dan muzik tetapi juga dibawa menyelami dimensi emosi, kuasa dan kepercayaan yang dekat dengan jiwa masyarakat.
Pengarah karya ini, Muhammad Fikri Hariz berjaya menyampaikan kisah rakyat yang penuh emosi dengan pendekatan bercerita yang segar dan penuh imaginasi.
Gabungan gerak tari, lakonan dan susunan visual menjadikan Ritma Warisan sebagai satu pengalaman teater yang hidup, menyentuh jiwa dan mengajak penonton merenung kembali nilai-nilai persaudaraan, kepercayaan dan pengorbanan.
Menurut penasihat Ragenda, Muhammad Azril Izuan Ramlan, karya ini bukan sekadar persembahan tetapi merupakan satu bentuk penghargaan terhadap seni budaya tempatan yang disampaikan dalam bentuk yang lebih relevan kepada masyarakat masa kini.
"Seni budaya bukan hanya untuk dipersembahkan tetapi juga berupaya mendidik dan menyentuh hati,” jelas beliau.
Presiden Ragenda, Nurfarina Azmain turut menzahirkan rasa bangga terhadap seluruh pasukan yang telah menjayakan pementasan tersebut. Baginya, Ritma Warisan adalah penghormatan kepada cerita rakyat dan khazanah seni yang kaya dengan nilai pendidikan serta keindahan warisan.
Sokongan daripada pihak pengurusan turut memberi suntikan semangat buat para pelajar.
Penolong Rektor UiTM Kampus Rembau, Profesor Madya Dr Masitah Ahmad menyifatkan Ritma Warisan sebagai satu persembahan berkelas tinggi yang berjaya mengangkat warisan budaya dalam bentuk artistik.
"Ini adalah hasil kreativiti anak muda UiTM Rembau sendiri,” katanya, penuh bangga.
Melalui Ritma Warisan, Ragenda membuktikan bahawa seni bukan sekadar hiburan, tetapi mampu menjadi wadah penyampaian ilmu, warisan dan nilai murni. Lebih penting lagi, persembahan ini mencerminkan kebangkitan generasi muda dalam memartabatkan budaya tempatan dengan cara yang mereka sendiri fahami, hayati dan banggakan.
Dalam dunia yang semakin moden, usaha seperti ini perlu diraikan dan disokong agar seni budaya terus hidup, mekar dan menjadi cermin kepada jati diri bangsa.