Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Anesee Ibrahim telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkuat kuasa 10 Mac lalu hingga 7 Mei 2026.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts Dr Zaliman Sauli berkata, pelantikan itu dibuat mengikut peruntukan Seksyen 18(1) Perlembagaan UniMAP dan mendapat persetujuan Menteri Pendidikan Tinggi.
Katanya, bersempena pelantikan tersebut, satu Sesi Suai Tugas khas diadakan di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada Selasa.
"Sesi itu bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh mengenai fungsi dan kuasa ahli lembaga selain memperkenalkan hala tuju strategik universiti," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, pelantikan Anesee dijangka dapat memperkukuh tadbir urus universiti dan menyokong aspirasi UniMAP dalam memperkasakan kecemerlangan akademik serta pembangunan teknologi dan inovasi selaras dasar pendidikan tinggi negara.
Dalam masa yang sama, Zaliman turut menyampaikan surat ucapan tahniah kepada Anesee sempena pelantikan tersebut.
Pada Selasa, Anesee turut melawat tapak projek pembangunan UniMAP melibatkan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan dan PPK Sistem Elektrik, Dewan Tuanku Canselor serta Masjid dan Pusat Islam UniMAP.
Beliau turut diberikan taklimat pelaksanaan projek oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis.