
Anesee ganti Zaini! Mula tugas sebagai KSU KPT hari ini
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima kehadiran 'orang baharu' iaitu Datuk Dr Anesee Ibrahim yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) KPT berkuat kuasa pada Isnin.
KPT menerusi satu kenyataan media memaklumkan, pelantikan Anesee itu bagi menggantikan KSU KPT terdahulu, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang yang telah bersara wajib pada 3 Mac lalu.
"Anesee pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan berkelulusan doktor falsafah (PhD) dari Durham University, United Kingdom.
"Sebelum ini, beliau merupakan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) (dahulunya Institut Teknologi Mara) di peringkat sarjana, sarjana muda dan diploma," kongsi KPT.

Sambung kementerian berkenaan, Anesee memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada tahun 1994 sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).
"Beliau pernah bertugas di beberapa jabatan dan kementerian antaranya JPA serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Anesee juga pernah bertugas sebagai Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO Paris, Perancis dan berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran awam serta sektor pendidikan.

"Diharap dengan pelantikan ini, Anesee dapat memperkukuhkan lagi agenda pembangunan pendidikan tinggi selaras dengan aspirasi kerajaan Madani dalam memastikan sistem pendidikan tinggi yang berkualiti, inklusif dan berdaya saing di peringkat global," maklum KPT.
Terdahulu, ketibaan Anesee ke perkarangan lobi bangunan KPT disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Mohamad Azhan Md Amir dan barisan pengurusan tertinggi pada Isnin.
Beliau mengetik perakam waktu (clock-in) di lobi bangunan kementerian sebagai simbolik memulakan tugas, sebelum mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
