Hari Guru bukan sekadar satu perayaan biasa, ia adalah manifestasi penghargaan terhadap insan mulia yang tanpa jemu mencurahkan ilmu, mendidik dengan penuh kasih sayang dan membimbing anak bangsa ke arah kejayaan.
Di sebalik kejayaan setiap individu, pasti ada sentuhan ikhlas seorang guru yang menjadi lilin, menerangi jalan kehidupan murid-muridnya.
Saban tahun, tanggal 16 Mei menjadi medan mengangkat martabat warga pendidik yang tidak pernah lelah menabur bakti. Tema sambutan yang silih berganti, tidak pernah lari daripada makna sebenar iaitu mengiktiraf jasa dan pengorbanan mereka.
Bagaimanapun, adakah sambutan gah dan hadiah daripada anak didik menjadi satu perkara yang dinanti-nantikan sebagai guru? Jadi, mari dengarkan perkongsian daripada Pensyarah Akademik Jabatan Hal Ehwal Pelajar Institusi Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tun Hussein Onn, Muhammad Hafifi Radzuwan yang menghubungi Sinar Bestari baru-baru ini.
Bagi mendalami kisah tersebut, ikuti luahan berkenaan.
Memandangkan tarikh keramat esok, iaitu 16 Mei 2025, tiba-tiba terasa pula ingin menulis sesuatu bagi melontarkan beberapa pandangan khususnya berkaitan sambutan hari guru yang bakal disambut tidak lama lagi.
Tak apa sahabat, mungkin pandangan saya ini sedikit berbeza dengan amalan yang dilakukan di sebahagian sekolah.
Namun, saya percaya bahawa perbezaan pandangan dan pendapat ini, jika diraikan dengan cara yang penuh hikmah, insya-Allah besar natijahnya terhadap cara kita berfikir dan menilai sesuatu perkara.
Saban tahun, saya percaya tarikh 16 Mei ini merupakan tarikh keramat yang sangat dinantikan oleh semua guru kerana inilah harinya murid-murid kita akan mengucapkan 'Selamat Hari Guru' kepada kita.
Bukan sekadar ucapan diberikan, malah pelbagai hadiah diberikan sebagai tanda penghargaan daripada seorang murid kepada gurunya. Sudah tentu, bukan nilai ringgit itu yang menjadi ukuran.
Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah tanda ingatan mereka kepada kita sebagai guru yang mengajar dan mendidik mereka dengan pelbagai ilmu dan nilai kehidupan.
Pernah suatu ketika dahulu, ada seorang murid ini menanti waktu akhir sesi persekolahan untuk berjumpa dengan saya bagi menyampaikan hadiah hari guru. Saya perhatikan sahaja gelagatnya.
Rupa-rupanya dia sangat malu dengan rakannya kerana tiada hadiah yang dapat diberikan kepada saya melainkan hanya sehelai kertas yang berisi nota 'Selamat hari guru Cikgu Hafifi. Terima kasih kerana mengajar saya'.
Berair juga mata saya seketika tatkala menerima hadiah itu walaupun hanya berupa secebis nota. Sejujurnya, ungkapan inilah antara ungkapan yang sangat terkesan dalam diri saya.
Namun, setelah sekian lama saya berada di sekolah, selain daripada acara penyampaian hadiah ini, ada suatu perkara yang seringkali menyebabkan saya berfikir.
Adakah sambutan yang diadakan benar-benar dapat mengangkat martabat guru di tempat yang sepatutnya?
Adakah aktiviti yang diadakan dengan pelbagai tema sambutan yang ditetapkan dapat menyuburkan rasa sayang seorang murid kepada gurunya?
Bagi saya, inilah antara perkara utama yang harus difikirkan dan menjadi inti pati utama dalam sambutan hari guru.
Jika boleh, inilah harinya air mata seorang murid menitis kerana menghargai jasa guru yang telah mendidiknya dengan penuh kesabaran dan kesungguhan sehingga menjadikan dirinya seorang insan yang berilmu serta mengerti tujuan hidup.
Tak salah untuk mengikut trend atau tema tertentu bagi menghiburkan guru-guru dan anak murid kita.
Namun harus diingat, tema yang ditetapkan itu haruslah bersandarkan dengan objektif yang jelas dan sesuai dengan roh sambutan hari guru serta perlu ada batasannya.
Janganlah kita terlalu mengikut trend sehingga mengorbankan maruah dan nilai diri kita hanya semata-mata untuk memenuhi tuntutan tema yang ditetapkan.
Tatkala pasukan polis berbangga dengan pakaian seragamnya ketika menyambut hari polis, pasukan tentera pula segak dengan pakaian seragamnya ketika perbarisan hari angkatan tentera. Namun, tidak berbanggakah kita dengan pakaian rasmi kita sebagai guru sambil tersematnya tanda nama pada pakaian kita?
Ya, betul. Mungkin kita pernah tersilap sebelum ni. Jadi tak salah untuk kita tarik 'break' sekejap dan cari ruang untuk bermuhasabah.
Tak usah diteruskan kesilapan yang pernah kita lakukan kerana dikhuatiri kesilapan itu akan menjadi kelaziman dan kelaziman itulah akhirnya akan membentuk keperibadian seorang insan yang jauh daripada pedoman.
Hadirnya guru dalam diri anak didik kita adalah untuk menjadi suri teladan yang dapat memandu dirinya menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Jadilah guru yang berjiwa besar dan berani berkata benar walaupun pahit untuk ditelan.
Namun, jiwa yang besar itu haruslah dipasak dengan cara fikir yang betul serta disulam dengan akal budi yang sihat dan hikmah yang santun. Insya-ALLAH, semoga segala usaha kita menjadi asbab kebaikan di dunia dan akhirat.
Selamat Hari Guru Tahun 2025
"Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”