Kejayaan membawa pulang 10 anugerah dalam Festival Antarabangsa Les Etoiles de Paris 2025 yang diadakan di Perancis baru-baru ini telah mencipta sejarah tersendiri dan mengharumkan nama negara.
Ia telah menyerlahkan bakat muda tanah air yang memukau khalayak antarabangsa menerusi persembahan yang menampilkan keunikan seni warisan Malaysia.
Dengan semangat jati diri dan kecintaan terhadap budaya tradisional, para pelajar Malaysia mempamerkan pelbagai persembahan tarian dan muzik etnik yang berjaya mencuri tumpuan di pentas antarabangsa.
Seramai 70 murid yang mewakili 25 institusi pendidikan terdiri daripada sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi telah mengangkat nama Malaysia di festival berprestij itu.
Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, penyertaan pelajar Malaysia ke festival itu diselaraskan bersama JPN Johor, Negeri Sembilan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.
"Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa menyokong usaha warga pendidik dalam memastikan kemenjadian murid mencapai tahap tertinggi dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Tahniah kepada semua!” kata JPN Selangor.
Kehadiran pelajar Malaysia bukan sahaja membanggakan negara, malah membuktikan komitmen mereka dalam memelihara dan mempromosikan seni serta budaya tradisional di peringkat global.
Usaha gigih dan kesungguhan yang ditampilkan pasti meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan penonton dan peserta festival dari seluruh dunia.