Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, menyeru para graduan supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan menguasai transformasi digital dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau serta keselamatan siber.
Baginda yang juga Canselor Management and Science University (MSU), bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-35 MSU di Dewan Canselor universiti itu di Shah Alam pada Sabtu.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, ahli keluarga, barisan pensyarah serta pengurusan MSU yang memainkan peranan penting dalam kejayaan para graduan.
"Graduan MSU bukan sahaja menimba ilmu akademik, malah dilatih untuk berfikir secara terbuka, kreatif serta menanamkan nilai murni dan adab yang menjadi asas penting dalam membina negara berteraskan nilai dan ilmu,” titah baginda.
Dalam majlis itu, seramai 1,974 graduan daripada 126 program pengajian menerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma serta pelbagai anugerah kecemerlangan lain.
Menjunjung tema Transforming Lives, Enriching Future, Raja Muda Kedah menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian MSU yang kini menjadi antara universiti terkemuka di peringkat antarabangsa, dengan lebih 350 kolaborasi strategik bersama institusi luar dari lebih 40 negara.
"MSU turut menjadi pilihan pelajar antarabangsa dari lebih 73 negara. Ini memperkukuh lagi jenama MSU di mata dunia,” titah baginda.
Dalam perkembangan terkini, MSU berjaya tersenarai dalam kelompok 20 universiti terbaik di Malaysia serta menduduki tangga ke-28 di Asia Tenggara menerusi penarafan QS World University Rankings 2025, manakala berada di kedudukan 129 bagi universiti terbaik di Asia.
Bagi penarafan Times Higher Education (THE) pula, MSU berada dalam kelompok lima institusi pengajian tinggi swasta terbaik di Malaysia dan tersenarai dalam kedudukan 801 hingga 1,000 dunia.
Baginda turut memuji usaha MSU membangunkan kurikulum serta penyelidikan berfokus kepada teknologi masa depan termasuk AI, robotik dan Internet Kebendaan (IoT), selari dengan Pelan Transformasi Malaysia Digital.
"MSU menubuhkan beberapa pusat kecemerlangan seperti Centre of Excellence (COE) Software Engineering & Digital Innovation (SenDI) serta Centre of AI and Cybersecurity (AICS). MSU juga menjadi rakan strategik dalam Malaysia Artificial Intelligence Consortium (MAI),” titah baginda.
Mengakhiri titah, Tengku Sarafudin Badlishah menzahirkan harapan agar para graduan terus berusaha mencipta kecemerlangan demi masa depan diri, keluarga, masyarakat dan negara.