Calon SPM 2025 sertai Kelas Bimbingan STEM demi meraih keputusan cemerlang!

Iklan
Setiap sesi dibimbing oleh tenaga pengajar pakar daripada sekolah menengah dan disokong barisan pensyarah, penyelidik dan fasilitator pelajar UMS.

Seramai 57 pelajar Tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya dan SMK Taman Tun Fuad dari Sabah menyertai Program Kelas Bimbingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Living Lab Edu-Xperiential baru-baru ini.

Program anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui inisiatif Geran Living Lab bertujuan memperkukuh kecemerlangan akademik, meningkatkan enrolmen bidang STEM dan membina budaya prestasi cemerlang dalam kalangan pelajar menjelang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Iklan
Iklan

Menurut Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), UMS, Profesor Madya Dr Soon Singh Bikar Singh, program itu membuka ruang kepada para pelajar untuk mencipta kejayaan luar biasa dalam STEM.

"Program berfasa ini melibatkan enam subjek utama iaitu Matematik, Matematik Tambahan, Bahasa Inggeris, Fizik, Kimia dan Biologi.

Iklan

"Setiap sesi dibimbing oleh tenaga pengajar pakar daripada sekolah menengah dan disokong barisan pensyarah, penyelidik dan fasilitator pelajar UMS.

"Dengan usaha gigih dan semangat yang tidak putus asa, saya yakin program yang UMS anjurkan ini akan dapat membantu semua pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, program dianjurkan bukan sahaja memperkukuhkan persediaan akademik pelajar menghadapi SPM, malah menjadi pemangkin membina generasi STEM yang lebih berdaya saing, inovatif dan mampu menerajui masa depan negara.

"Langkah kolaboratif antara UMS dan sekolah-sekolah menengah ini membuktikan bahawa pendidikan berkualiti mampu dilonjakkan apabila kepakaran dan semangat kerjasama digembleng sepenuhnya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Geran Living Lab Edu-Xperiential, Profesor Dr Sabariah Sharif berkata, program bimbingan tersebut turut memberi peluang kepada pelajar-pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPLI) dan pelajar-pelajar prasiswazah UMS untuk menimba pengalaman dalam mempraktikkan kemahiran pedagogi, mengajar teknik komunikasi dan membina keyakinan diri untuk berdepan realiti dunia pendidikan.

"Kejayaan program ini disokong oleh penggunaan modul-modul STEM inovatif yang dibangunkan melalui kolaborasi guru pakar dan penyelidik UMS.

"Modul-modul tersebut mengintegrasikan elemen kecerdasan buatan (AI), gamifikasi, simulasi digital dan pembelajaran berasaskan projek, sekali gus membina suasana PdPc yang lebih interaktif, menarik dan berkesan,” ujarnya.

Sabariah merakamkan penghargaan kepada semua tenaga pengajar dari sekolah-sekolah yang terlibat seperti SMK Perempuan Likas, SMK Gunsanad Keningau, SM St Michael Penampang, SMK Tamparuli, SMK Tenghilan dan barisan pensyarah UMS yang turut serta dalam program bimbingan berkenaan.

"Saya berharap, program seumpama ini akan diperluas ke lebih banyak sekolah di seluruh negara bagi memberi peluang kepada pelajar luar bandar dan bandar untuk menggapai kecemerlangan dan meningkatkan enrolmen dalam STEM seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan Sabah dan negara," ujarnya.