Penyandang juara, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam terus mengukuhkan reputasi apabila mengekalkan trofi Sumbangsih buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan SMK Hillcrest 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi Kumpulan A Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) di Padang Sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, Selangor pada Rabu.
Walaupun dikuasai Hillcrest hampir 60 minit permainan, skuad kendalian Osmera Omaro terlebih dahulu memimpin perlawanan menerusi sepakan penalti Muhammad Amal Mohd Dom pada minit ke-34.
Namun, Hillcrest yang enggan mengalah bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan dramatik Qaid Darwisy Mohd Faizal pada masa kecederaan (m-60+2) untuk mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.
Di sinilah ketenangan dan pengalaman pemain Shah Alam menjadi pemisah apabila menoktahkan kemenangan 5-3 sekali gus menafikan hasrat Hillcrest membawa pulang trofi ke Gombak.
Osmera dalam reaksinya selepas perlawanan memuji semangat juang lawan bimbingan Muhammad Rushdan Zainudin berkenaan yang disifatkan mendominasi sebahagian besar perlawanan.
"Pujian buat SMK Hillcrest yang bermain dengan baik dan mendominasi perlawanan. Namun, anak buah saya berjaya mengekang mereka dan lebih tenang ketika fasa transisi," katanya kepada Sukan Sinar.
Beliau juga turut mengakui peluang-peluang terbaik sebenarnya lebih banyak memihak kepada pasukannya.
"Sayangnya, kami tidak dapat menyudahkan beberapa peluang itu. Tetapi pemain kekal fokus hingga ke penentuan penalti dan memastikan kemenangan berpihak kepada kami,” katanya.
Mengulas perancangan selepas kejayaan sulung ini, Osmera menegaskan Shah Alam perlu segera memperkemaskan aspek penguasaan bola agar momentum dapat diteruskan dalam baki dua perlawanan Kumpulan A.
"Kami akan terus membawa semangat juang yang dipamerkan hari ini, tetapi dalam masa sama perlu ada penambahbaikan terutama dari segi kawalan bola,” ujarnya.
Selepas satu mata diraih di laman sendiri anak buah Osmera akan beralih fokus ke perlawanan kedua menentang SMK Saujana Utama di EV Arena Elmina pada Jumaat, yang dijangka menjadi medan penting menentukan hala tuju kempen Kumpulan A gergasi bola sepak remaja Shah Alam berkenaan.
Saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan Sinar Harian sebagai media rasmi kejohanan.
Hadir menyaksikan perlawanan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahir Raja Salim; Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Hashim Anang; Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Norfadzilah Rosdi dan Pengurus Besar Korporat Setiausaha Syarikat PNSB, Mohamad Nizam Yaacob.