Siapa sangka, hanya dalam tempoh latihan kurang daripada dua bulan, pelajar Malaysia berjaya mencipta kejutan dengan meraih kemenangan besar dalam pertandingan Festival Antarabangsa Les Etoiles de Paris 2025 baru-baru ini.
Berbekalkan semangat kental, kesungguhan luar biasa dan kerjasama sepasukan, mereka membuktikan bahawa kejayaan bukan semata-mata ditentukan oleh masa, tetapi oleh keazaman serta kesungguhan yang tidak berbelah bahagi.
Ketua Kontinjen Negara, Fadhilah Ab Hamid berkata, pelajar sekolah harian dan sekolah berasrama penuh (SBP) akan datang ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2) untuk menjalani latihan.
"Latihan mereka kurang daripada 20 kali sejak selepas Hari Raya dahulu. Jurulatih yang terlibat juga merupakan cikgu sekolah biasa, jadi dia hanya ada masa selepas tamat waktu persekolahan,” katanya.
Menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 3 itu mendapat kerjasama dengan semua pihak terutama pegawai, guru-guru pengiring dan pelajar serta ibu bapa.
Mereka turut sama-sama membantu daripada pelbagai aspek terutama keselamatan dan kebajikan anak-anak dari awal hingga akhir pertandingan.
Selain itu, Fadhilah turut memaklumkan bahawa pelajar juga berjaya menjadi duta budaya dalam memartabatkan seni budaya bangsa sekali gus melahirkan individu yang cemerlang serta kompetitif di peringkat global.
"Saya nak ucapkan terima kasih juga kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha berterusan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid bertanding di peringkat antarabangsa,” katanya.