Dalam dunia pendidikan, kehilangan seorang guru bukan sahaja dirasai oleh keluarga terdekat, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada anak-anak murid, rakan sejawat dan seluruh warga pendidik.
Bagi bulan Mei 2025, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) di Facebook telah berkongsi senarai beberapa orang guru yang telah kembali ke rahmatullah.
Pemergian mereka merupakan kehilangan besar kepada dunia pendidikan khususnya di negeri Sarawak yang kaya dengan budaya ilmu dan semangat kebersamaan.
Guru-guru ini bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah telah mencurahkan bakti, membentuk sahsiah dan menyemai nilai murni dalam diri generasi pewaris negara.
Hari ini, Sinar Bestari senaraikan nama-nama cikgu yang telah ‘pergi’ meninggalkan kita semua.
Mereka terdiri daripada:
1) Guru Akademik, SK Temenggong, Cikgu Wan Zainal Wan Hosen telah meninggal dunia pada 12 Mei (Isnin).
2) Guru Pendidikan Khas, SK Abang Haji Matahir, Cikgu Huspizawati Husain, 15 Mei (Khamis)
3) Guru Agama, SK Tabuan, Ustaz Mohd Ashraf Ismail, 16 Mei (Jumaat).
4) Guru Akademik, SK Tabuan Jaya, Cikgu Jeman Sengut, 16 Mei (Jumaat).
Sinar Bestari merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga, sahabat dan warga pendidikan yang kehilangan insan tersayang.
Semoga roh para guru ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Jasa mereka akan terus dikenang, ilmunya tetap mengalir dan legasinya kekal abadi.