Selangor mencipta sejarah gemilang apabila muncul juara dalam dua pertandingan utama sempena Sambutan Hari Guru Ke-54 Peringkat Kebangsaan 2025 baru-baru ini.
Pertandingan Bahas Guru Piala Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Guru, masing-masing berjaya menjulang nama negeri itu apabila barisan pendidiknya tampil unggul memenangi kedua-dua kejuaraan tersebut.
Dalam gelanggang bahas, pasukan guru Selangor tampil luar biasa dengan barisan pendebat yang bukan sahaja memiliki kepetahan berbahasa, tetapi juga kecekapan menyusun hujah serta kerjasama pasukan mantap.
Mereka diwakili lima guru hebat yang terdiri daripada Cikgu Parimala Munisamy dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Telok Panglima Garang; Cikgu Mohd Mazwan A Razak (SK Taman Samudra); Cikgu Siti Nur Shafika Fakharuzi (SK Seksyen 7); Cikgu Norazman Ahmat Syafri (SK Jalan 3) dan Sugasini Kumar Rao (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tshing Nian).
Di bawah bimbingan pengurus pasukan, Noor Ismahisham Ismail dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, mereka berjaya menewaskan pasukan lawan dengan penuh bergaya, menjadikan pentas akhir sebagai pentas pengukuhan keunggulan Selangor.
Manakala kategori Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Guru pula, Cikgu Siti Habibah Juddin dari SMK Taman Sri Muda telah memukau barisan juri dan penonton dengan pidatonya yang penuh semangat, sarat isi dan dihiasi dengan pengucapan menyentuh hati.
Kemenangan beliau mengukuhkan lagi dominasi Selangor dalam pentas pengucapan awam sekali gus membuktikan bahawa guru bukan sekadar pendidik di bilik darjah, tetapi juga ikon pemikiran dan suara komuniti.
Menurut Noor Ismahisham, pencapaian membanggakan itu tidak akan terhasil tanpa disiplin tinggi, latihan berstruktur dan sokongan padu dari pelbagai pihak khususnya JPN Selangor.
"Kejayaan ini milik semua guru di Selangor. Ia menjadi bukti bahawa guru-guru kita bukan sahaja mampu menyampaikan ilmu di bilik darjah, tetapi juga berani tampil ke hadapan membawa suara pendidikan dalam arena kebangsaan," ujar beliau.
Dengan dua kejuaraan besar dalam genggaman, Selangor kini dilihat sebagai negeri yang sentiasa ke hadapan dalam melahirkan pendidik berkualiti tinggi.
Kemenangan ini bukan sekadar angka, tetapi manifestasi kepada budaya kerja berpasukan, ketekunan dalam latihan dan keazaman untuk memperjuangkan martabat profesion keguruan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta, jurulatih dan warga pendidik Selangor yang terus membawa nama negeri ke persada kecemerlangan!