Minat pelajar terhadap Sains kurang? Ini 4 teknik pengajaran berkesan!

Iklan
Bagi pelajar yang meminati Sains, sesi PdPC selama satu jam dirasakan tidak mencukupi kerana terlalu banyak perkara menarik untuk diterokai.

Mata pelajaran Sains merupakan antara subjek teras yang memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah dan pemahaman terhadap dunia semula jadi.

Namun begitu, tahap penerimaan pelajar terhadap subjek ini adalah berbeza-beza.

Iklan
Iklan

Bagi pelajar yang meminati Sains, sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) selama satu jam dirasakan tidak mencukupi kerana terlalu banyak perkara menarik untuk diterokai.

Eksperimen makmal, teori sains dan penemuan baharu sentiasa menjadi tarikan utama yang menjadikan pembelajaran mereka lebih bermakna.

Iklan

Sebaliknya, bagi pelajar yang kurang minat, tempoh satu jam tersebut boleh menjadi sesuatu yang membebankan dan menimbulkan tekanan.

Ini disebabkan oleh kesukaran memahami konsep, istilah teknikal dan gaya penyampaian yang mungkin tidak bersesuaian.

Iklan

Hari ini, Sinar Bestari ingin berkongsi beberapa cadangan teknik pengajaran yang boleh membantu guru menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains.

1) Aktiviti hands-on

Pelajar sukakan pembelajaran yang bergerak dan tidak membosankan. Teknik pengajaran tradisional yang biasanya hanya interaksi tutor kepada pelajar, ‘chalk and talk’ kelihatan semakin ketinggalan zaman. Guru perlu ubah sedikit proses pengajaran dengan memperbanyakkan aktiviti hands-on.

Aktiviti hands-on boleh dipelbagaikan dalam bentuk membina model, melakukan eksperimen, mewarna gambar rajah dan aktiviti lain. Tentu pembelajaran jadi tidak membosankan jika pelajar aktif belajar. Pembelajaran Sains akan jadi menyeronokkan.

2) Teknik penyoalan Minds-On

Teknik penyoalan guru di Minds-On dalam kelas juga memainkan peranan penting dalam menarik minat pelajar meminati mata pelajaran Sains. Guru atau tutor yang baik, akan mampu memberikan soalan yang mampu mencabar minda pelajar. Soalan yang baik pula akan mampu merangsang pelajar untuk berfikir dan mencari jawapan dengan pelbagai cara.

Aktiviti Minds-On juga akan berlaku apabila tutor mewujudkan soalan-soalan KBAT dalam sesi pembelajaran yang mengajak pelajar-pelajar memberi respon, pandangan dan pendapat dalam sesuatu tajuk. Proses berfikir dan mencari jawapan ini akan membantu pelajar untuk jatuh cinta kepada subjek Sains. Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta!

3) Penggunaan teknologi dalam pembelajaran

Boleh dikatakan hampir setiap pelajar pasti terdedah dengan teknologi maklumat dan gajet terkini.

Sesuai dengan zaman mereka, salah satu lagi cara untuk menarik minat pelajar minat kepada subjek Sains adalah dengan menjalankan pembelajaran Sains melalui Teknologi.

Pendidik boleh memberi tugasan dalam bentuk penggunaan teknologi maklumat kepada pelajar.

Sebagai contohnya, memberi link YouTube untuk tontonan video ilmiah di rumah ataupun tugasan menghasilkan persembahan bagi subtopik tertentu dalam bentuk video.

Penggunaan media sosial seperti Facebook, X, Threads dan Instagram juga boleh digunakan dalam penghantaran hasil kerja pelajar kepada guru. Pembelajaran akan jadi lebih menarik kerana selari dengan peredaran zaman.

4) Sains itu menyeronokkan

Kebanyakan anak-anak didik tidak meminati Sains kerana melihat Sains sebagai sesuatu yang asing bagi mereka. Sesuatu yang hanya boleh dibayangkan sahaja. Jika guru dapat mengubah persepsi pelajar ini dengan memberikan sesuatu yang mereka dapat lihat, sentuh, rasa dan alami sendiri, tentunya ia akan memberi pengalaman berbeza kepada pelajar.

Penggunaan bahan yang ada di sekeliling kita bagi menggantikan penggunaan bahan yang kelihatan terlalu saintifik, juga mampu mendekatkan lagi Sains dengan pelajar.

Jika bahan tersebut mereka kenal, lebih dekat dengan mereka, pasti pembelajaran Sains akan jadi lebih menarik.

Aktiviti Pembelajaran Abad 21 boleh dijalankan dengan lebih efektif jika guru dan tutor dapat mencari idea menarik minat pelajar.

Semoga dengan perkongsian ini, dapat membantu guru-guru dalam menambahbaik aktiviti pengajaran Sains di sekolah mahupun di kelas tuisyen.

Sumber: CMNAcademy