Gombak Culture Group bawa pulang 6 trofi antarabangsa!

Iklan
Penyertaan kontinjen Gombak Culture Group bukan sahaja menunjukkan keupayaan luar biasa, malah memenangi kesemua enam kategori yang dipertandingkan.

Kontinjen Gombak Culture Group mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila berjaya mencipta kejayaan membanggakan dalam World Cup of Folklore Jesolo, Italy 2025 baru-baru ini.

Dengan menghantar penyertaan dalam enam kategori, kontinjen berkenaan bukan sahaja menunjukkan keupayaan luar biasa, malah memenangi kesemua enam kategori yang dipertandingkan.

Iklan
Iklan

Lebih membanggakan, empat kategori berjaya meraih gelaran johan manakala dua lagi kategori diumumkan sebagai naib johan, menjadikan pencapaian itu sebagai salah satu rekod terbaik yang pernah dicatat oleh wakil Malaysia dalam sejarah pertandingan tersebut.

Ketua kontinjen, Dr Abdul Aziz Ismail menyifatkan kejayaan yang diraih oleh Gombak Culture Group sebagai bukti nyata hasil usaha gigih dan komitmen tinggi semua pihak yang terlibat.

Iklan

"Usaha yang bersungguh-sungguh ini telah membuahkan hasil berkat kerjasama semua pihak.

"Terima kasih kepada semua yang terlibat dan memberikan sokongan sehingga kejayaan ini berjaya dikecapi," katanya selaku Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Gombak, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Gombak, Selangor.

Iklan

Terdahulu, seramai 30 murid dan 10 guru telah terpilih sebagai peserta utama bagi Gombak Culture Group.

Mereka turut diiringi oleh lapan pegawai dan guru pengiring, dua koreografer termasuk Abdul Razak Abdul Hamid serta empat anggota pengurusan yang bertanggungjawab dalam aspek tatarias dan kostum.

Kesemua peserta ini merupakan pelajar daripada 17 buah sekolah di Selangor, yang bersama-sama menyumbang tenaga dan bakat dalam mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Sekolah-sekolah itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melawati; SMK Seri Keramat; SMK Seri Gombak; SMK Bukit Gading; SMK Darul Ehsan; SMK Hulu Kelang; SMK Sierramas dan SMK Bukit Indah.

Turut serta, peserta dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati; SK Sungai Buluh; SK Bukit Rawang Jaya; SK Selayang Utama; SK Bandar Baru Selayang 2; SK 2 Selayang Baru; SK Taman Permata; SK Taman Desa dan SK Dato Maharajalela.

Sementara itu, kejayaan gemilang kontinjen Gombak Culture Group di World Cup of Folklore 2025 bukanlah hasil yang diperoleh secara mudah.

Mereka telah merangka satu gerak kerja tersusun, terancang dan dilaksanakan secara konsisten sejak awal lagi.

Ia bermula dengan proses pemilihan peserta sehinggalah detik terakhir sebelum berlepas ke Itali.

Difahamkan, persiapan rapi bermula sejak Februari 2025 dengan sesi uji bakat, diikuti latihan berkala sepanjang Ramadan dan latihan intensif sepenuh masa dari 15 hingga 19 Mei.

INFO

Berikut kategori disertai Gombak Culture Group sekali gus muncul johan

1) Kategori C: Kanak-kanak dan Remaja - Tarian Sewang@Kuda Kepang

2) Kategori D: Dewasa - Silat Tari Inai

3) Kategori E: Kanak-kanak dan Remaja - Dikir Barat

4) Kategori F: Campuran Remaja dan Dewasa - Nyanyian dan Tarian Samrah

Kategori yang mendapat naib johan

1) Kategori C: Dewasa - Tarian Magunatip

2) Kategori D: Kanak-kanak dan Remaja - Malaysian Art Dance (Cina, Zapin, Inang Kontemporari)