Program Mission Terra: Pendidik Cakna, Biodiversiti Terpelihara disertai seramai 98 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City, Tanjung Malim, Perak bertujuan untuk mendidik dan berperanan melatih peserta untuk menjadi ejen perubahan dalam komuniti.
Program tersebut turut memfokuskan kesedaran dan tindakan praktikal dalam pemuliharaan biodiversiti melalui pendidikan inovatif serta aktiviti konservasi.
Penolong Kanan Pentadbiran SMK Proton City, Siti Faridah Othman berkata, gabungan pembelajaran teori dan praktikal itu dapat mencipta kesan jangka panjang terhadap pemuliharaan alam sekitar.
"Program ini juga mampu memupuk sikap tanggungjawab generasi muda untuk mengambil langkah proaktif dalam melindungi dan memulihara biodiversiti.
"Secara tidak langsung ia melahirkan generasi muda yang sentiasa prihatin dan menghargai kepelbagaian biodiversiti,” katanya.
Mission Terra juga melibatkan 28 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengambil inisiatif untuk menerapkan kesedaran dan tindakan praktikal dalam pemuliharaan biodiversiti melalui pendidikan inovatif serta konservasi hutan.
Program berkenaan selari dengan aspirasi universiti berkenaan untuk memperkukuhkan ekosistem pendidikan, mempelbagaikan perkongsian ilmu dan mengantarabangsakan pendidikan tinggi.
Dalam pada itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Dr Mohd Ikhwan Hadi Yaacob berkata, tujuan dan matlamat program tersebut dalam usaha untuk membuka minda serta fikiran belia tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
"Saya difahamkan program ini mempunyai gabungan tiga slot iaitu setiap satu daripadanya mengandungi perisian ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
"Secara tidak langsung, ia juga boleh mencungkil idea-idea baharu dalam diri belia untuk menginovasikan pendidikan,” katanya.
Penglibatan aktif guru bersama pensyarah juga memainkan peranan penting dalam menggerakkan komuniti sekolah, universiti serta masyarakat untuk bersama-sama melaksanakan usaha pemuliharaan.