Swipe Sittah ciptaan pelajar SAMBEST muncul johan inovasi Selangor!

Iklan
Kumpulan pelajar SAMBEST tidak dapat menyembunyikan kegembiraan mereka apabila muncul johan dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung 23 dan 24 Mei lalu.

Inovasi pendidikan berjudul Swipe Sittah yang dibangunkan lima pelajar dari Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Selangor dinobatkan johan dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Negeri Selangor baru-baru ini.

Kumpulan pelajar hebat yang terdiri daripada Muhammad Hazim Mohd Haizan, Muhammad A'isy Imtiyaz Mohamad Fuad, Muhammad Rifqi Hipni Shahlizal, Muhammad Aqil Azizi dan Muhammad Khalif Ilmi Rokasa merupakan barisan anak-anak didik SAMBEST yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah menunjukkan potensi tinggi dalam bidang inovasi dan kepimpinan.

Iklan
Iklan

Kejayaan mereka tidak hadir secara bersendirian.

Di sebalik inovasi Swipe Sittah yang menakjubkan ini, terdapat sokongan kukuh dan bimbingan berterusan daripada dua guru berdedikasi iaitu Cikgu Mohd Fahmi M Noor dan Cikgu Amni Afiqah Mohd Saupi.

Iklan

Menurut Cikgu Mohd Fahmi, Swipe Sittah bukan sekadar alat bantu mengajar sebaliknya ia papan permainan interaktif yang direka untuk membantu pelajar mengenal pasti dan memahami masdar dan wazan, dua komponen penting dalam tatabahasa Arab yang sering dianggap mencabar.

"Inovasi ini lahir daripada pemerhatian terhadap kesukaran pelajar dalam menjawab soalan masdar. Ramai pelajar gagal skor kerana sukar menghafal wazan yang terlalu banyak dan kompleks.

Iklan

"Swipe Sittah tampil dengan reka bentuk yang berwarna-warni, mudah digerakkan dan bersifat manipulatif, menjadikan ia bukan hanya alat bantu malah satu permainan pendidikan menyeronokkan serta efektif,” katanya selaku guru pembimbing.

Beliau berkata, Swipe Sittah menampilkan enam simbol huruf masdar yang mewakili 18 wazan utama, membolehkan pelajar membuat padanan struktur fi’il ke masdar dengan lebih cepat dan tepat.

Ujarnya, inovasi ini turut diperkasa dengan bahan sokongan seperti lagu mnemonik, formula hafalan mudah, modul latihan bercetak dan cadangan aplikasi digital, menjadikannya platform pembelajaran lengkap dan mudah diakses pada bila-bila masa.

"Keberkesanan inovasi ini terbukti dengan peningkatan kefahaman sehingga 90 peratus dan lonjakan prestasi pelajar kepada 99 peratus pencapaian Mumtaz dalam ujian-ujian selepas penggunaan produk.

"Swipe Sittah juga berjaya menjimatkan masa sebanyak 97 peratus serta menjimatkan kos cetak sehingga 92%, menjadikan ia pilihan efektif untuk digunakan secara meluas di sekolah," jelasnya lagi.

Sementara itu, Swipe Sittah bukan sahaja mendapat pengiktirafan Anugerah Platinum di peringkat sekolah, malah telah dikongsikan ke beberapa sekolah lain seperti MITS Pandan Indah yang turut memberikan maklum balas sangat positif terhadap impaknya.

Seorang pelajar yang juga pengguna inovasi ini berkata, dulu dia sangat sukar untuk memahami masdar.

"Tetapi dengan Swipe Sittah, hanya dalam 10 minit saya sudah boleh kenal dan faham semua wazan dengan jelas. Seronok sangat," katanya.

Dengan kejayaan di peringkat negeri, SAMBEST kini bersiap sedia untuk membawa Swipe Sittah ke pentas kebangsaan serta mengembangkan versi digital bagi membolehkan lebih ramai pelajar di seluruh negara merasai manfaatnya.

Kejayaan Swipe Sittah membuktikan bahawa inovasi dalam pendidikan bukan sahaja berupaya menyelesaikan masalah pembelajaran, malah mampu mencetuskan perubahan paradigma dalam kaedah pengajaran yang lebih moden, menarik dan berimpak tinggi.