Gaya hidup anak muda dalam dunia media sosial

Iklan
Media sosial turut menjadi platform pembelajaran alternatif dengan kandungan berbentuk pendidikan, motivasi, tip belajar dan kerjaya dikongsi secara percuma.

Dalam era digital yang serba pantas ini, media sosial seperti Instagram, TikTok, YouTube, Facebook dan X (dahulunya Twitter) telah menjadi nadi utama kehidupan anak muda di Malaysia.

Bukan sahaja sebagai ruang interaksi, tetapi turut menjadi medan untuk berkongsi maklumat, mencari hiburan dan membentuk identiti diri.

Iklan
Iklan

Dengan peningkatan penggunaan telefon pintar dan capaian internet yang meluas, hampir semua remaja kini memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media sosial.

Fenomena ini secara langsung mempengaruhi gaya hidup mereka dari segi cara berkomunikasi, berfikir, berfesyen, hingga kepada pembentukan aspirasi dan cita-cita.

Iklan

Salah satu perubahan paling ketara ialah cara anak muda berkomunikasi.

Mereka kini lebih gemar menggunakan aplikasi seperti WhatsApp, Instagram Direct Message dan TikTok komen untuk berinteraksi sekali gus menggantikan perbualan secara bersemuka.

Iklan

Peralihan ini telah menjadikan dunia maya sebagai ruang sosial utama, namun pada masa sama menimbulkan cabaran dalam pembentukan kemahiran komunikasi bersemuka dan kecerdasan emosi.

Lebih membimbangkan, budaya 'berkongsi segalanya' di media sosial telah menjadi norma baharu.

Remaja kini terbiasa memuat naik gambar makanan, destinasi percutian, pencapaian peribadi bahkan hal-hal peribadi yang sepatutnya kekal sebagai urusan peribadi.

Keinginan untuk meraih likes dan followers telah mewujudkan kebergantungan terhadap pengesahan sosial, yang seterusnya boleh menjejaskan harga diri dan kesejahteraan emosi mereka.

Kewujudan pempengaruh media sosial atau influencer turut memainkan peranan besar dalam membentuk gaya hidup anak muda.

Ramai remaja cuba meniru gaya hidup mewah yang dipaparkan oleh selebriti media sosial tubuh badan ideal, barangan berjenama, gaya hidup eksklusif walaupun tidak mempunyai kemampuan sebenar.

Ada yang sanggup berhutang, meminta wang daripada ibu bapa atau membeli produk kecantikan berisiko semata-mata ingin tampil seperti idola mereka.

Fenomena ini bukan sahaja menggalakkan pembaziran dan gaya hidup materialistik, malah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan fizikal dan mental.

Norma kecantikan yang tidak realistik juga berpotensi menjejaskan imej diri remaja, yang mungkin merasakan diri tidak cukup baik jika tidak menepati standard yang dipromosikan.

Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (2023) menunjukkan peningkatan kebimbangan, kemurungan dan tekanan dalam kalangan remaja, berpunca daripada penggunaan media sosial yang berlebihan.

Budaya perbandingan yang tidak sihat membuatkan mereka merasa rendah diri, tidak cukup berjaya atau tertinggal berbanding rakan sebaya.

Fenomena Fear of Missing Out (FOMO) turut menyumbang kepada kegelisahan. Remaja sentiasa ingin mengikuti perkembangan terkini dan takut terlepas tren semasa, menyebabkan mereka menghabiskan berjam-jam di hadapan skrin.

Kesannya? Gangguan tidur, prestasi akademik merosot, interaksi keluarga semakin hambar dan aktiviti fizikal semakin kurang.

Namun begitu, tidak semua pengaruh media sosial bersifat negatif. Jika dimanfaatkan dengan bijak, ia membuka peluang besar kepada anak muda untuk mengembangkan potensi diri.

Ramai remaja kini menjadi usahawan digital, menjual produk melalui TikTok Shop, Shopee Live atau Instagram.

Ada yang berjaya menjadi pencipta kandungan atau content creator, menjana pendapatan melalui iklan, siaran langsung atau kolaborasi bersama jenama besar.

Media sosial juga menjadi platform pembelajaran alternatif dengan kandungan berbentuk pendidikan, motivasi, tip belajar dan kerjaya dikongsi secara percuma.

Ini membolehkan anak muda membina kemahiran baharu dan meluaskan ilmu pengetahuan secara kendiri.

Untuk memastikan pengaruh media sosial kekal positif, pendekatan menyeluruh perlu diambil.

Pendidikan literasi digital harus diberikan sejak awal supaya anak muda dapat membezakan realiti dan ilusi yang dipaparkan dalam media sosial.

Ibu bapa pula perlu memainkan peranan sebagai pemantau dan pendengar yang terbuka manakala institusi pendidikan harus menyediakan ruang sokongan emosi dan pembangunan sahsiah pelajar.

Kerjasama antara keluarga, sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa amat penting untuk membentuk anak muda yang celik media, berminda kritis dan seimbang dari segi emosi serta rohani.

Media sosial tidak lagi sekadar alat hiburan, tetapi telah menjadi elemen penting dalam kehidupan anak muda Malaysia.

Walaupun wujud cabaran, media sosial juga menawarkan peluang yang besar.

Yang penting, kita sebagai masyarakat harus mendidik dan membimbing generasi muda agar mereka dapat memanfaatkan teknologi ini untuk membina masa depan yang lebih cerah, bukan sebaliknya.

Bijak bermedia, bijak membina diri.

Maklumat Penulis:

1) Pelajar Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhamad Shazwan Mudzafar

2) Pensyarah Kanan, Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM, Dr Afiqah Kamarul

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my