Petanque bukan sekadar lontar

Iklan

---Di sebalik lontaran bola besi atau boules yang tampak santai dan mudah, tersimpan lima kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap pemain petanque iaitu sukan padang yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Permainan bermula dengan pemain berdiri dalam bulatan permulaan sebelum melontarkan boules ke arah cochonnet yang merupakan bola sasaran kecil dibaling terlebih dahulu dalam jarak antara enam hingga 10 meter.

Iklan
Iklan

Setiap boules yang paling hampir dengan cochonnet akan menerima satu mata, bergantung kepada kategori yang dipertandingkan.

Menurut jurulatih Persatuan Sukan Boules Negeri Melaka, Norafif Mohd Amin, terdapat lima kemahiran asas yang menjadi kunci utama kejayaan dalam sukan ini.

Iklan

"Lima asas penting ialah cara memegang boules, kedudukan kaki, ayunan tangan semasa melontar, titik jatuh yang tepat dan posisi badan yang betul,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa ramai pemain baharu menganggap sukan ini hanya sekadar melempar bola besi. Namun, sekiranya teknik asas diabaikan, maka balingan akan tersasar jauh daripada cochonnet.

Iklan

"Setiap lontaran perlu diasaskan dengan teknik yang betul. Jika pegangan, posisi badan dan ayunan tangan salah, boule tidak akan sampai ke sasaran,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Tanpa kemahiran asas ini, agak mustahil untuk seseorang pemain bersaing di peringkat kompetitif, bagaimanapun latihan yang konsisten mampu membawa perubahan besar.

"Jika seseorang pemain berlatih bersungguhsungguh, mereka boleh capai tahap profesional dalam tempoh dua minggu hingga sebulan,” ujar Norafif.

Latihan ulang suai gelanggang

Petanque bukan sahaja menuntut kemahiran teknikal tetapi keupayaan menyesuaikan diri dengan gelanggang yang berbeza sekali gus ia satu faktor yang sering membezakan pemain amatur dan profesional.

Menurut Norafif, tiada satu pun gelanggang petanque yang serupa berikutan ada yang berpasir halus, berbatu kasar atau tidak rata. Justeru, latihan yang dilakukan di pelbagai permukaan gelanggang penting untuk membina kepekaan pemain terhadap cabaran sebenar pertandingan.

"Atlet perlu belajar ‘membaca’ padang dan menyesuaikan balingan mengikut keadaan. Latihan berulang di gelanggang berbeza akan bantu mereka hafal corak balingan yang sesuai,” katanya.

Norafif berkata lagi, latihan kerap bukan sahaja memperbaiki teknik lontaran, malah membina strategi permainan yang lebih matang dan efektif.

Dalam aksi sebenar, atlet perlu menggunakan pelbagai gaya balingan seperti rolling, soft lob dan high lob untuk kemahiran pointing iaitu meletakkan bola sedekat mungkin dengan cochonnet.

Manakala dalam kemahiran shooting, pemain akan memilih teknik lontaran seperti leretan, lontaran pendek atau lontaran tepat ke boule lawan.

"Setiap permukaan memerlukan pendekatan berbeza. Di sinilah pentingnya latihan berterusan supaya atlet tahu bila dan bagaimana hendak menggunakan teknik tertentu,” jelas beliau.