Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 bakal membuka ruang kepada pelajar menyerlahkan potensi diri, berkarya dan memperkasakan diri sebagai pemimpin masa depan.
Berlangsung dari 25 hingga 27 Julai di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, acara berkenaan dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung dan menghimpunkan pelbagai aktiviti berasaskan kreativiti, inovasi serta semangat komuniti dengan pelajar sebagai tumpuan utama.
Antara aktiviti yang mempamerkan bakat pelajar termasuk dikir barat, tarian, kawad kaki, choral speaking, pameran robotik, pertandingan Smartlympic serta pertunjukan fesyen kitar semula.
Turut diadakan pertandingan mewarna, melukis, hari kantin dan bicara berirama.
Menurut Editor Sinar Bestari, Nurbaya Abdul Rezak, penyertaan pelajar dalam karnival ini dijangka dapat membina keyakinan diri, menggalakkan kerjasama dan kepimpinan.
"Kami percaya bakat muda aset negara. Karnival ini ruang mereka menyerlah dan berkembang. Lebih daripada sekadar pertandingan, dengan penyertaan para pelajar di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 ini, diharapkan mampu membentuk pendidikan holistik merangkumi aspek intelek, emosi dan sosial, selain menyemai nilai perpaduan melalui interaksi langsung dengan komuniti,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, pelajar juga akan diberi peluang terlibat dalam keusahawanan mengendalikan reruai jualan yang mana ia pengalaman pembelajaran dunia sebenar.
"Dengan tarikan lain seperti rumah hantu, fun fair, go-kart, Pasar Saloma dan busking jiwa muda, karnival ini menjadi platform menyatukan hiburan, budaya serta pembelajaran dalam satu platform inklusif.
"Sinar Bestari dan Akademi Pendidikan Sinar Bestari mengalu-alukan kerjasama sekolah dan pihak korporat menjayakan acara ini yang dianggap antara penganjuran komuniti terbesar di Shah Alam,” katanya.