'Dia dulu pelajar aliran Sastera...' - Alumni GMI kini cipta nama di universiti kejuruteraan ternama dunia!

Iklan
Kejayaan Zul Hakim (kanan) jelas membuktikan bahawa permulaan yang sederhana bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan luar biasa.

Siapa sangka seorang pelajar aliran Sastera yang hanya meraih keputusan 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berjaya bergraduasi dalam double major Mechatronics Engineering Technology dan Automation & Systems Integration Engineering Technology di Purdue University, West Lafayette, Indiana, Amerika Syarikat.

Zul Hakim Zulhaimi yang merupakan alumni German-Malaysian Institute (GMI) pada tahun 2018 mencipta sejarah apabila berjaya menamatkan pengajian lebih awal iaitu pada semester Spring 2025 berbanding semester Fall 2025 seperti yang ditawarkan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Iklan
Iklan

Menurut perkongsian MARA USA di Facebook, kejayaan anak muda Malaysia itu jelas membuktikan bahawa permulaan yang sederhana bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan luar biasa.

"Dia bermula sebagai pelajar aliran Sastera dengan memperoleh 2A SPM. Semua permohonan untuk menyambung pengajian ke universiti awam tidak berjaya. Kemudian, pemuda ini mengambil langkah untuk menyambung pengajian di GMI pada 2018.

Iklan

"Walaupun datang daripada latar belakang bukan aliran Sains, Zul Hakim nekad mencabar diri dalam Diploma Kejuruteraan Teknologi Mekatronik iaitu bidang yang penuh berliku dan mencabar.

"Usaha gigih itu membuahkan hasil apabila dia berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang pada 2021,” maklum MARA USA.

Iklan

Susulan kecemerlangannya dalam akademik, Zul Hakim menerima tajaan Mara untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Dia telah memilih Purdue University kerana yakin inilah tempat terbaik untuknya mengembangkan lagi potensi diri.

Di sana, anak muda ini tidak sekadar hadir sebagai pelajar, tetapi tampil sebagai pemimpin dan inovator muda.

Antara pencapaiannya adalah terlibat dalam pembangunan prototaip exoskeleton pintar yang dilengkapi sensor daya dan sudut untuk kegunaan industri dan akademik, dilantik Teaching Assistant untuk kursus Lean Six Sigma dan mewakili universiti dalam Tech Expo Purdue untuk membentangkan hasil inovasi kepada wakil industri.

Usaha keras berkenaan akhirnya membuahkan kejayaan apabila Zul Hakim menerima Golden Honor Cord, satu penghormatan tertinggi yang dianugerahkan kepada graduan cemerlang dalam akademik.

Semoga kisah ini menjadi pembakar semangat kepada semua anak muda di luar sana terutamanya yang merasakan diri telah gagal.

Hakikatnya, gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya.

Untuk Zul Hakim, teruslah menjadi inspirasi anak bangsa!