71 guru pedalaman di Sabah terima Anugerah Ikon Guru Penyayang

Iklan
Antara guru di kawasan pedalaman dari Sabah yang menerima Anugerah Ikon Penyayang sempena sambutan Hari Guru 2025.

Seramai 71 guru dari 16 sekolah di kawasan pedalaman Sabah menerima Anugerah Ikon Guru Penyayang sempena sambutan Hari Guru 2025 baru-baru ini.

Anugerah yang disampaikan menerusi satu majlis sempena musim kedua program English for Life tersebut adalah sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, kasih sayang dan keprihatinan mereka dalam memperkasakan pendidikan anak-anak luar bandar.

Iklan
Iklan

Dalam masa sama, ia adalah sebagai salah satu usaha luar biasa untuk memperkukuh literasi Bahasa Inggeris, kreativiti dan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar di kawasan yang mengalami kekurangan akses seperti Tenom, Keningau dan Nabawan.

Dalam anugerah ini, tokoh yang menjadi inspirasi kepada Anugerah Ikon Guru Penyayang ialah Cikgu Richard Ragai dari Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, yang menjadikan kehilangan anak tersayang akibat penyakit jantung sebagai pemangkin perjuangannya dalam mendidik dengan kasih dan penuh semangat.

Iklan

Penasihat Kumpulan Karangkraf merangkap penasihat program, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia bukan sekadar program semata-mata tetapi pelaburan dalam pembinaan modal insan di masa hadapan.

"Kita sedang memecahkan kitaran kemiskinan melalui kemahiran komunikasi dan pendidikan. Terima kasih kepada semua guru, penyumbang dan rakan kongsi yang menjadikan visi ini satu realiti," katanya.

Iklan

Program tersebut adalah hasil kerjasama pintar antara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), pertubuhan Forces of Love dan Sinar Harian selaku rakan media rasmi.

Untuk rekod, sejak dilancarkan, English for Life telah memberi manfaat kepada lebih 1,650 murid dari komuniti yang terjejas dengan kemiskinan tegar, tanpa akses kepada elektrik atau internet, namun terus menyinar dengan semangat untuk belajar.

Antara inisiatif paling berimpak ialah 'Little Tourism Ambassadors: Tales from the Interior' yang melatih murid menjadi pencerita digital melalui kewartawanan mudah alih, sambil mempromosikan budaya dan alam semula jadi Sabah kepada dunia.

Empat teras utama program ini ialah Jualan dan Pemasaran Asas, Program Bahasa Inggeris Berimpak Tinggi (HIP), Inovasi-Projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan Duta Pelancongan Kecil.

Sebagai sebuah gerakan pendidikan yang kian berkembang, English for Life terus menjadi simbol harapan, bukan sahaja untuk pelajar, tetapi juga kepada setiap guru yang percaya bahawa perubahan bermula daripada kasih dan tindakan.